FENOMENA TAKFIRIYAH ANTARA UMAT

Alhamdulillah... lama x masuk bilik ni..sedang2 mencuci sarang lelawang alang2 mahu juga berkongsi sedikit kalam dr Syeikh Al-Azhar ... Dr Ahmad Tayyib berkenaan isu kafir mengkafir sesama muslim... Isu ini berbangkit semula dalam kancah politik di bumi Mesir kerana sudah terlalu jelas tindakan sebahagian umat di sini khususnya mengkafir antara satu sama lain.. Oleh itu pihak Al-Azhar sendiri cuba berusaha meredakan kembali isu ini dengan cuba melihat penilaian2 ilmiah untuk sama2 kembali berfikir sebelum bertindak.. Saya kemukakan ucapan beliau yang sudah diterjemahkan .




Di sini bukan untuk berbincang berkenaan Asyairah, Maturidiah atau Manhaj Salaf dalam Akidah... kerana semua itu adalah ahli sunna wal jamaah. Tetapi isu yang cuba diketengahkan adalah berpolitik dan kafir mengkafir sesama muslim...


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدُ للهِ والصلاةُ والسلامُ على سيدنا رسول الله وعلى آله وصحبِه ومن اهتدى بهداه.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته... وبعد


Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang. Segala puji-pujian itu hanya bagi Allah dan salawat serta salam keatas junjungan besar kita RasulLulah saw dan kepada keluarganya, para sahabatnya dan juga kepada mereka yang mendapat hidayah daripada Allah.

Selamat datang kepada anda semua dan selamat datang ketanah air anda yang kedua iaitu Mesir yang dikenali dengan nama jolokan “  ardul Kinanah ”. Saya berdoa agar anda semua mendapat petunjuk dari Allah dalam persidangan ini yang akan membincangkan satu isu paling penting  yang menyentuh masyarakat Islam dan arab pada masa kini.



 Fenomena mengkafirkan orang Islam serta mengeluarkan fatwa tanpa menurut panduan sehingga menghalalkan perbuatan membunuh dan memerangi orang Islam yang lain adalah merupakan satu bencana besar yang membawa masyarakat kita menanggung kejerihan hidup yang amat pahit.

Sebenarnya kita telah menyangka bahawa kumpulan yang menganut fahaman takfiriyah ini telah pulih kesedaran mereka serta cuba memahami agama mereka dengan kefahaman yang sebenar  serta meninggalkan pegangan buruk tersebut bersama-sama dengan kesan sampingannya yang memusnahkan itu semenjak tahun 90an pada kurun yang lalu. Ketika itu gejala takfiriyah aktif di Mesir dan juga dibeberapa buah negara serta sebahagian dari benua dunia ini.

Sejak akhir-akhir ini secara tiba-tiba pula kita telah dikejutkan semula dengan bahana kecelakaan itu yang datang menyerang negara kita dengan rupanya yang amat ganas serta mengganggu keharmonian hidup seluruh dunia arab dan Islam di Asia dan juga Afrika.

Fenomena serangan ganas itu dapat dilihat dalam pelbagai bentuk seperti pembunuhan, kemusnahan, letupan dan serangan terhadap orang awam yang hidup aman damai tanpa sebarang dosa lalu menukarkan realiti kehidupan manusia kepada kerosakan yang tidak terdaya dipikul oleh bahu mereka.

Perasaan menjadi terlalu sedih apabila semua jenayah tersebut dilakukan di atas sempena nama agama Islam dan syariatnya yang bersifat toleransi. Manakala operasi keganasan pula dilaksanakan seiring dengan laungan La-ilaha ilalLah dan suara takbir Allahu al-Akbar serta beralasan tindakan itu adalah sebagai menunaikan kewajipan berjihad dan mati syahid  di jalan Allah.

Senario ini telah diekspoiltasikan oleh media barat sepenuhnya dalam memburukan reputasi agama Islam. Mereka menghidangkan kepada masyarakat dunia bahawa Islam adalah sebuah agama yang ganas, sentiasa kehausan kepada darah manusia. Agama yang membunuh anggota masyarakat awam yang tidak berdosa, menggalakan perbuatan kekerasan, kebencian, menyemarakan sentimen hasad dengki di antara sesama penganutnya.

Gejala takfiriyah(menghukum kafir pada seseorang) individu lain yang  tidak sehaluan dengan mereka sebagai kafir di mana kesannya membawa kepada pertumpahan darah. Sebenarnya persoalan ini bukanlah perkara baru di dalam masyarakat Islam malah cara memahami fekah yang mereka berpegang itu juga bukanlah  satu bentuk yang baru.

Kita semua telah pun mempelajari sejarah tentang golongan khawarij, di mana kelahiran kumpulan ini pada awal penubuhan negara Islam.
Cuba kita lihat bagaimankah fikrah takfir ini bertukar menjadi suatu bencana di mana ianya bertolak dari kesan penyelewangan pada masa lalu dalam gambarannya menyentuh dua bidang  iaitu bidang akidah dan juga fekah. Maksud saya di sini ialah mereka salah faham dalam  memahami hubungan di antara konsep beriman kepada Allah itu adalah sebagai asas manakala amal perbuatan itu adalah sebagai cabang atau furuk kepada asas tadi.

Proses penyelewangan ini berlaku ketika mereka berpegang kepada beberapa penafsiran yang jelas kemudian mereka perpusing dari kejelasan itu kepada pengertian maksud lain yang bertentangan. Setelah itu mereka menyeru agar menukarkan pegangan kefahaman mereka yang lalu dan kekal berpegang hanya kepada sebahagian nas-nas al-Quran sahaja.   


 Memang di dalam bicara singkat ini kami tidak mampu memberi penerangan secara terperinci mengenai tajuk di atas yang mengupas tentang sejarah kelahiran fikrah takfiriyah, sebab-sebab timbul serta perkembangannya, dasar akidah dan juga manhaj  golongan ini. Walaupun begitu ada juga kebaikan, sekiranya saya sentuh secara ringkas tentang bagaimana isu takfir ini dapat kembali ke pentas serta mencari punca yang memberi laluan kepada gejala ini untuk bertapak dan aktif semula dengan programnya yang merosakan.

Perbincangan seterusnya akan memberi kita maklumat sejarah kumpulan takfiriyah di mana masyarakat kita di Mesir, begitu juga dunia arab dan Islam tidak mengetahui sejarah munculnya jamaah tersebut yang berpegang kepada prinsip bahawa tidak menjadi suatu kesalahan mengkafirkan masyarakat sekarang serta menganggapkan status mereka masih berada dalam era jahiliah. Kumpulan itu juga berpendapat  wajib memisahkan diri secara perasaan dengan anggota masyarakat yang berada disekeliling mereka. Peristiwa ini berlaku sebelum tahun 1967 pada kurun yang lalu.

Sepertimana yang kita maklum jamaah takfiriyah baru telah lahir dari dalam penjara dan juga sel-sel tahanan yang merupakan kesan lanjutan dari polisi kekerasan dan tekanan penindasan yang dikenakan keatas belia-belia yang menjadi anggota harakah Islamiah. Semasa di dalam penjara sebahagian daripada mereka diminta untuk menyatakan sokongan kepada pemerintah. Majoritinya membuat kenyataan bertulis menyokong pemerintah.

Sementara itu terdapat sebilangan kecil daripada mereka menolak tawaran itu dan menganggap sesiapa yang menerima tawaran itu beerti ia telah melarikan diri daripada perjuangan agama. Kumpulan minoriti ini pula mengambil sikap mengekalkan prinsip menolak tawaran menyokong pemerintah dan manifestasi dari tindakan itu kehidupan mereka menjadi terpisah dari teman-teman seperjuangan mereka yang lain.

Seterusnya mereka membuat deklarasi terbuka dengan melabelkan teman-teman mereka yang menyokong pemerintah telah menjadi kafir kerana menyokong sebuah kerajaan yang sifatnya kafir. Mereka juga mengistiharkan setiap individu masyarakat turut menjadi kafir juga kerana mereka cenderong kearah pemerintah yang tidak Islamis.

Lanjutan dari itu sembahyang dan puasa yang ditunaikan oleh individu masyarakat hanya sia-sia dan tidak mendatangkan sebarang faedah. Mereka juga menyatakan untuk membersihkan diri dari kekafiran itu adalah dengan menyertai jamaah serta memberi baiah kepada imam mereka.

Peristiwa ini kemungkinan merupakan titik permulaan munculnya jamaah takfir disekitar tahun 1967 M, selepas lenyapnya kaum khawarij dan kumpulan bathiniah yang lain, kini telah berkubur di dalam lipatan sejarah. Demikianlah proses kembalinya jamaah takfir baru yang terbentuk ditangan para belia muda yang tidak memiliki sebarang kelayakan ilmiah dan ilmu pengetahuan bagi memahami agama Islam. Mereka hanya memiliki bahang semangat dan kekuatan tindak balas yang ganas.

Perasaan dendam yang lahir dari peribadi yang lemah dan tidak bermaya menanggung seksaan dari penyeksa yang kejam maka alternatif takfir adalah sebagai satu formula jalan keluar yang idealis dan lebih cepat bagi menyampaikan gambaran jelas terhadap penderitaan yang mereka lalui .          



Disini kita dapat memahami bahawa sumber hukum dan fikrah keagamaan mereka bukanlah berasaskan dari  ilmu pengetahuan yang mantap serta pemikiran yang matang sebaliknya  lahir dari tindak balas realiti kehidupan yang diseliputi dengan kekerasan dan tekanan kezaliman.

Oleh itu kita juga menyedari mengenai beberapa individu yang menjadi pendukung kepada gerakan ini telah meletakan metodologi takfir di dalam tentatif program haraki mereka tetapi realitinya ia adalah satu  “ idea bermasalah. ”
Idea bermasalah itu bukanlah satu kurikulum di dalam harakah Islamiah walaupun ianya dianuti oleh ramai pendukungnya.

Menurut  pendapat yang lain pula bahawa sejarah kelahiran pemikiran takfir terkini bukanlah terbentuk ditangan belia-belia yang mengistiharkan pemerintah dan masyarakat ketika itu adalah kafir sedang mereka berada didalam sel-sel penjara dipertengahan tahun 60an di kurun kedua puluh yang lalu.

Tetapi pemikiran takfiriyah yang terbaru adalah lahir pada tahun 1968M di dalam penjara di tangan sebuah jamaah lain yang menggelar diri mereka sebagai jamaah Islamiah dan kemudiannya dikenali dengan nama baru mereka “ Jamaah Takfir Walhijrah. ” Setelah itu banyak kumpulan jamaah Islam yang lain terpengaruh dengan pemikiran mereka.

Di atas apa alasan sekalipun mengenai kelahiran pemikiran takfir ini, yang jelas dan tidak dapat disangkal kebenarannya ialah sel-sel penjara dan suasana persekitarannya yang di penuhi dengan pelbagai  pencerobohan yang berlaku pada ketika itu telah mendorong para belia menganut kefahaman yang rosak dan membina tanggapan buruk.

Oleh itu sesiapa yang berkesempatan meneliti kembali buku-buku yang ditulis pada ketika prinsip kebebasan dalam kehidupan dirampas semenjak dahulu dan kini pasti ianya akan menyaksikan sebuah khazanah yang kaya dengan idea pemikiran dan fikrah-fikrah. Sekiranya semua hasil pemikiran dan fikrah itu pula ditakdirkan tertulis di dalam suasana yang dinaungi oleh kebebasan nescaya ianya akan berbeza sama sekali dari segi rupa bentuk serta isi kandungannya.

Selain dari itu, penjara bukan sahaja satu sebab yang mengembalikan semula fikrah takfir pada masa kini tetapi di sana terdapat sebab-sebab sampingan yang lain saya akan paparkan di sini. Faktor sampingan yang lain ialah keterlaluan memberi sokongan dan dorongan dalam menyuburkan program ceramah yang berisi sentimen kafir mengkafir untuk dihalakan kearah kumpulan yang lain.

Begitulah keadaannya program itu telah menjadi satu tradisi warisan sejarah yang panjang   berkesinambungan, kemungkinan kita boleh namakan jaluran itu sebagai tradisi ekstrim dan melampau didalam pemikiran Islam. Turas tradisi ini telah menggambarkan semenjak kelahirannya satu identiti budaya songsang yang nyata berbeza dari akidah sebenar yang difahami oleh umat Islam dan semua penganutnya.

Oleh itu secara pukalnya boleh dikatakan ia adalah satu tradisi yang seiras didalam satu aspek atau lebih kepada turas tradisi golongan khawarij yang mana telah diberi peringatan mengenainya  oleh Nabi saw manakala jumhur awam umat Islam bersepakat menolak golongan tersebut semenjak dahulu sehingga kini.

 
Menurut apa yang saya faham punca berlakunya kekhilafan di antara akidah golongan takfir dengan akidah yang menjadi pegangan seluruh para imam mazhab adalah terselindung di dalam perkara yang dikenali sebagai perbahasan iman dan Islam disisi ulamak usuludin serta kaitan di antara amal perbuatan dengan intipati iman itu serta hakikatnya yang sebenar.

Para ulamak yang mulia, saya memohon kebenaran anda bagi mengulangi sekali lagi kepada anda semua, satu konsep akidah ahli sunnah waljamaah walaupun ianya bukanlah suatu perkara baru kepada anda semua tetapi amat kerap berlaku ialah persoalan penting ini telah hilang dari fokus ramai para pengkaji, pemerhati dan juga penganalisa.

Kini betapa perlunya tema perbahasan mengenai konsep akidah ahli sunnah waljamaah itu dipaparkan semula di sini. Saudara-saudara semua, sepertimana yang telah anda maklum bahawa mazhab ahli sunnah waljamaah dalam menghuraikan konsep hakikat iman itu ialah membenarkan di dalam hati prinsip beriman kepada Allah, malaikatNya, kitabNya, rasulNya dan kepada hari akhirat seterusnya seperti apa yang datang didalam beberapa hadis sahih yang menafsirkan konsep iman bererti pegangan didalam hati yang teguh.

Nabi saw telah menyatakan konsep iman itu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim didalam kitab hadis sahih muslim dengan katanya : Bahawasanya beriman dengan Allah, malaikatNya, kitabNya, bertemu denganNya, rasulNya dan beriman dengan hari kebangkitan.

Manakala amalan sembahyang, puasa, zakat, haji, amal perbuatan yang wajib dilaksanakan dan juga amal perbuatan yang wajib ditinggalkan itu maka menurut skop huraian nabi saw perkara itu tidak termasuk didalam hakikat iman.

 Dalam huraian yang lain perkara itu bukanlah digolongkan di dalam juzuk asas yang menjadi teras iman bahkan ianya merupakan syarat kepada kesempurnaan iman sahaja. Perkara itu berperanan penting dalam menentukan bertambah atau berkurangannya iman seseorang. Lantaran itu perkara tersebut boleh mengangkat tinggi iman seseorang itu sehingga mencapai darjat setinggi-tingginya dan ia juga adalah penyebab yang membawa iman seseorang individu itu jatuh serendah-rendah darjatnya.

Menurut skop kefahaman tersebut  sekiranya semua amalan yang dilakukan oleh seseorang itu terhapus ianya tidak boleh membawa kepada terbatal imannya bahkan individu itu kekal menjadi seorang mukmin walaupun ia melakukan sedikit ketaatan ataupun ia banyak melakukan maksiat dan kejahatan.

Oleh kerana itu tidak boleh melemparkan perkataan kafir kepada seseorang itu walau bagaimana keadaannya sekalipun selagi seseorang individu itu memelihara akidah didalam  hati yang menjadi asas kepada hakikat iman dan juga pengertiannya.

Senario perbahasan tadi adalah merupakan kata pemutus di antara akidah ahli sunnah waljamaah dari mazhab asyairah, maturidiyah dan ahli hadis disatu pihak dengan akidah golongan yang selain daripada ahli sunnah yang telah menjadikan  amal perbuatan itu adalah sebahagian daripada hakikat iman.



Golongan itu juga berpegang kepada prinsip bahawa mana-mana individu yang telah melakukan maksiat dosa besar maka ia telah terhapus imannya lalu ia menjadi seorang yang kafir serta terkeluar dari agama Allah. Dengan itu pintu telah terbuka luas dihadapan mereka untuk bertindak menumpahkan darah dan merampas harta individu itu.

Penjelasan tentang perbezaan akidah ahli sunnah waljamaah dengan golongan lain adalah merupakan garis pemisah di antara akidah pegangan jumhur muslimin dengan akidah pegangan golongan muktazilah yang berkata bahawa sesiapa yang melakukan dosa besar ia bukanlah seorang mukmin dan bukan juga menjadi seorang yang kafir. Maka ia berada diantara dua kedudukan iaitu dinamakan status fasik. Perbahasan mengenai status fasik  ini terlalu panjang dan telah ditolak oleh para ulamak ahli sunnah waljamaah.

Disini saya amat prihatin untuk memberi penerangan bahawa terdapat sebahagian dari pendukung-pendukung mazhab tertentu telah cuba membentuk suatu turas akidah yang cenderong kepada ekstrim dalam memahami konsep iman. Golongan ini telah bergiat aktif melalui majlis ilmu, bidang penulisan, penerbitan buku dan siaran tv bagi menanamkan prinsip mereka kedalam pemikiran kaum belia. Mereka mendakwa mazhab yang benar adalah mazhab yang menjadikan hakikat iman itu adalah gabungan diantara iktikad dan amalan. Manakala iktikad atau pengakuan hati sahaja adalah tidak mencukupi bagi mencapai tahap sebagai seorang yang beriman.

Harapan kita agar pendukung mazhab ekstrim ini dapat memberhentikan kegiatan  mempropagandakan mazhab tersebut.  Penyiaran itu boleh dibuat diatas dasar, ia adalah salah satu pandangan diantara pelbagai pendapat pemikiran yang ada. Ataupun mereka juga boleh menyatakan itu adalah satu mazhab diantara mazhab-mazhab yang sedia ada. Sekiranya sikap ketelusan itu berlaku maka persoalan dan perbicaraan mengenai akidah ini menjadi mudah serta ringan.

Sebaliknya kumpulan ini telah membuat propaganda secara meluas serta mendakwa mazhab mereka adalah benar manakala mazhab yang lain telah menyimpang dari kebenaran. Mereka juga mendakwa mazhab asyairah adalah sesat dan tersasar dari kebenaran dan tidak memberi apa-apa gambaran kepada identiti agama Islam dalam bidang ini.

Propaganda melabelkan kesesatan kepada mazhab asyairah itu terus dilakukan sedangkan lebih daripada majoriti 90% umat Islam di timur dan barat menganut fahaman asyairah. Mazhab asyairah menghuraikan konsep iman itu adalah pengakuan benar di hati manakala amalan pula adalah manifestasi dari iman tadi dan juga sebagai tanda bertambah dan berkurangan iman seseorang. Amalan maksiat dan dosa yang dilakukan oleh sesorang itu sama sekali tidak boleh menjejaskan ataupun membatalkan iman.

Melalui perutusan ini kami terlalu ingin mengajak agar anda kembali membuat pertimbangan terhadap mazhab asyairah, maturidiah dan mazhab ahli hadis dalam kontek persoalan amal dan iman. Kami ingin menyeru anda kepada satu mazhab yang telah didukungi oleh majoriti umat Islam disepanjang susur sejarahnya yang sudah pasti ia adalah satu mazhab yang terlalu sempit ruang kafir mengkafir didalamnya.




Mazhab asyairah yang berpegang kepada prinsip bahawa tidak akan menjadi kufur seseorang itu kecuali kepada individu yang memberanikan dirinya sendiri melakukan kufur hakiki iaitu perbuatan mengingkari salah satu rukun daripada rukun iman ataupun menolak sesuatu prinsip yang diketahui secara umum perkara itu adalah sebahagian daripada amalan keagamaan.

Mazhab ini juga telah meletakan asas formula keemasannya adalah seperti berikut : Sesungguhnya sesuatu perkara itu tidak boleh mengeluarkan anda dari batas-batas keimanan melainkan anda bertindak mengingkari perkara yang memasukan anda kedalamnya.

Tegasnya mazhab ahli sunnah waljamaah adalah satu mazhab yang disokong kuat dengan banyak ayat-ayat al-Quran, begitu juga ianya satu mazhab yang jelas perbezaan diantara hakikat iman dan hakikat amal perbuatan. Lantaran itu al-Quranulkarim menghubungkan perkataan amal perbuatan keatas perkataan iman dengan menggunakan kaedah pertautan yang bertentangan seperti firman Allah Taala :

  {إِنَّ الَّذِينَ آمَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّالِحَاتِ}                                              

  
Ertinya :  Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan yang melakukan amal perbuatan yang baik.

Masih terdapat ayat-ayat al-Quran disurah yang lain.

Memang terdapat  ayat al-Quran yang menyatakan kekalnya iman seseorang muslim yang melakukan perbuatan maksiat dan dosa seperti firman Allah Taala :
   
{وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا} {الحجرات: 9}               


Ertinya : Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang , maka damaikanlah di antara keduanya.  

Firman Allah :
{كَمَا أَخْرَجَكَ رَبُّكَ مِن بَيْتِكَ بِالْحَقِّ وَإِنَّ فَرِيقاً مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ لَكَارِهُونَ * يُجَادِلُونَكَ فِي الْحَقِّ بَعْدَمَا تَبَيَّنَ كَأَنَّمَا يُسَاقُونَ إِلَى الْمَوْتِ وَهُمْ يَنظُرُونَ} {الأنفال: 5-6}

Ertinya : Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran , maka)Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga , sedang sebahagian dari orang-orang yang  beriman itu (sebenarnya)tidak suka (turut berjuang). Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya).

Dalam ayat diatas Allah Taala telah menyifatkan para sahabat baginda dengan sifat sebagai pelaku dosa besar iaitu kebencian mereka menyertai jihad bersama RasulluLah saw dan mereka cuba berhujjah dengan baginda RasulluLah saw walaupun kebenaran itu telah jelas dalam pengetahuan mereka. Dalam situasi itu al-Quran masih menyebut  para sahabat itu dengan perkataan mereka itu adalah satu golongan dari orang-orang mukmin.

Sebahagian dari bukti ayat-ayat al-Quran yang lain firman Allah :

{إِلاَّ مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالإِيمَانِ} {النحل: 106}
Ertinya : Kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedangkan hatinya tenteram dengan beriman.


Firman Allah Taala :

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ *كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ}{الصف: 2-3}

Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak melakukanya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Firman Allah Taala :

ومنها: { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الأَرْضِ}{التوبة :38 }
Ertinya: Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu berasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)?

Masih banyak lagi ayat al-Quran yang berintraksi dengan orang-orang yang melakukan maksiat dan dosa besar.  


Firman Allah Taala :
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ}




Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman.

Allah Taala menyifatkan mereka para sahabat itu sebagai orang yang beriman. Prinsip kita menjadi bertambah jelas bahawa orang yang melakukan dosa besar adalah digolongkan sebagai  mukmin dan tidak wajar melabelkan mereka dengan sifat kafir. Moga Allah lindungi, apabila seseorang itu melakukan dosa besar dalam bentuk syirik dan mengingkari sesuatu perkara yang diketahui secara umum bahawa pegangan itu adalah sebahagian dari agama maka ketika itu barulah individu itu dihukum sebagai kafir kerana ia ingkar serta menolak kepercayaan itu.

Kesimpulannya mazhab Imam Asyaari adalah mazhab yang dipakai dan diterima oleh majoriti teramai umat Islam dan itulah mazhab yang mewakili harapan manusia, ahli maksiat serta orang-orang beriman yang lain dalam mendapat kemaafan, pengampunan serta rahmat Allah Taala.

Mazhab Imam Asyaari adalah sebagai sebuah gambaran tentang betapa ringannya agama ini serta terlalu kasih, pemurah dan bersimpati kepada seluruh penganutnya. Oleh itu kepada sesiapa yang membaca kata pengantar kitab Imam kita Abu Hasan Asyaari (moga Allah meredainya) iaitu kitab “ Maqalat al-Islamiah ” akan merasa kagum di atas sifat toleransi agama Islam yang begitu tinggi terserlah jelas pada peribadi Imam Abu Hasan Asyaari.

Situasi itu dapat dilihat ketika beliau membuat koleksi penulisan makalah-makalah, mengumpul maklumat mazhab akidah dan pelbagai aliran perbezaan pendapat yang berlaku dikalangan umat Islam lalu dikumpulkan dibawah satu lembayong Islam dengan nama koleksi itu ialah “ Maqalat al-Islamiyin waikhtilafat al-Musallin ”  

Sekarang saya paparkan petikan mukhadimah kitab Abu Hasan Asyaari, beliau berkata : Manusia telah berpecah kepada pelbagai aliran selepas Nabi saw mengenai banyak perkara, sebahagian daripada aliran-aliran yang berselisih faham itu melabelkan dakwaan kesesatan diantara satu sama lain manakala sebahagian dari golongan itu pula menolak golongan yang lain.

Setelah itu terbentuklah berbagai-bagai puak yang berbeza diantara satu sama lain dan  parti-parti ahzab yang berpecah-belah tetapi Islam telah berjaya menghimpun dan mengumpul mereka kembali. Nas kenyataan ini amat wajar mendapat perhatian semua tokoh-tokoh ilmuwan kerana Imam Abu Hasan Asyaari telah melihat kepada gejala perpecahan puak dan perselisihan seperti apa yang telah menimpa umat Islam kini.




Kemudian mazhab asyairah telah memberi sumbangan besar dalam memelihara darah, harta dan juga maruah umat Islam sepertimana yang diharamkan oleh RasulLulah saw didalam beberapa keterangan yang amat jelas dengan sabda beliau saw :


  كلُّ المسلمِ على المسلمِ حرامٌ: دمُه ومالُه وعِرضُه
Ertinya : Setiap individu muslim keatas muslim yang lain itu adalah haram darah, harta dan maruahnya.

Sabda Nabi saw :
أيُّها الناسُ، إنَّ دماءَكم وأموالَكم وأعراضَكم حرامٌ عليكم كحُرمةِ يَوْمِكم هذا ([4])
Wahai manusia, sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan maruah kamu adalah haram diatas kamu sepertimana haramnya hari kamu ini.
Mazhab asyairah juga mempunyai pandangan  yang seimbang terhadap manusia yang dijadikan itu dengan tabiat semulajadinya terdedah kepada melakukan kesalahan seperti yang ingatkan oleh Nabi saw :
قولِه: كلُّ ابنِ آدمَ خَطَّاءٌ، وخيرُ الخَطَّائينَ التَّوَّابون ([5])
   
 Sabdanya : Setiap anak adam itu akan melakukan kesalahan maka sebaik-baik orang yang bersalah itu ia bertaubat.


Para ulamak yang dihormati, anda semua tahu dalam penilitian yang dibuat dalam mazhab asyairah, kita telah melihat persoalan kuasa menyatakan status seseorang itu samaada ia seorang Islam atau kafir sebenarnya tidak dimiliki oleh mana-mana individu, badan, jamaah dan juga gerakan tanzim tetapi ia hanya suatu nama yang dilabelkan sahaja oleh syarak.

Persoalan takfir ini pula mempunyai prinsip disiplinnya serta memenuhi segala syaratnya. Apabila kehilangan semua perkara yang menjadi sebab penghalang kepada seseorang itu menjadi kafir maka ianya perlu dinilaikan pula didalam ruang yang amat ketat sekali dan kemudiannya situasi itu pula boleh dengan ditolak dengan sebarang kesamaran yang timbul.

Sebenarnya autoriti dalam kaitan dengan takfir adalah bidang tugas hakim dan pemerentah maka sesiapa yang memberanikan dirinya dalam hal ini maka ia adalah seorang manusia yang jahil sebagaimana yang di katakan oleh Hujjatul Islam Imam Ghazali dengan tegasnya :
Sesungguhnya kesalahan membiarkan satu kekufuran  berlaku kepada seribu orang kafir adalah lebih ringan dari menumpahkan setitis darah seorang muslim.

Menurut pendapat Imam Mohamed Abduh menjauhkan diri dari takfir itu adalah asas kepada asal hukum-hakam di dalam Islam lalu beliau berkata : Apabila terbit satu perkataan daripada seseorang dimana perkataan itu boleh dikaitkan dengan kekufuran dari seratus aspek manakala satu aspek sahaja boleh dikaitkan dengan keimanan maka hendaklah dibawa perkataan itu kepada keimanan dan tidak harus dijuruskan perkataan itu kepada kekufuran.

Tuan-tuan sekalian, kita berada disini seperti yang diketahui oleh Allah tujuan kita bukanlah untuk menyalakan api persilihan pendapat di antara para ulamak dan semoga dijauhkan oleh Allah, al-Azhar akan menjadi sebuah pusat untuk perpecahan di antara umat Islam.

Sesungguhnya al-Azhar telah beroperasi lebih dari seribu tahun dan akan kekal mengajar ilmu feqah di dalam semua mazhab serta pendapat yang khilafiyah, semua masaalah di dalam ilmu kalam serta pendapat firqah pecahannya dan juga ilmu sains Islam daripada berbagai sumber.

Tetapi al-Azhar semenjak dahulu lagi telah menemui semula turas ilmu miliknya yang hilang darinya iaitu mazhab ahli sunnah waljamaah lalu mengambil mazhab itu sebagai bahtera penyelamat kepada umat Islam.

 Setiap kali umat Islam ditimpa wabak perpecahan dan penyakit  taasub yang keterlaluan terhadap sesuatu mazhab lalu menganggap mazhab yang dianutinya itu adalah agama Islam yang sebenar dan tidak ada Islam selain darinya. Maka al-Azhar akan bangun  mengambil inisiatif yang bersungguh-sungguh bagi membina semula perpaduan umat serta bergabung bersama mereka bagi menghadapai mara bahaya  serta rintangan ombak itu.  Al-Azhar akan terus konsisten di atas landasan perjuangannya yang berkesinambungan.
 

Tuan-tuan yang dimuliakan, Institusi al-Azhar yang membawa panji-panji perpaduan di antara umat Islam seluruhnya akan berdiri pada jarak yang sama diantara mazhab-mazhab yang ada dalam menentang serangan ideologi athies, budaya pembaratan dan keruntuhan moral. Al-Azhar juga akan terus bekerja dengan konsisten dalam menentang gejala takfir yang baru muncul yang mana penyakit ini telah mendapat tentangan hebat oleh seluruh umat Islam dahulu dan kini.

Saudara-saudara sekalian, sebenarnya sudah tidak ada ruang waktu lagi dihadapan kita dalam memacu kearah mencapai semua cita-cita diatas kecuali dengan mengambil inisiatif secara jujur bagi menyatupadukan seluruh para ulamak Islam bagi menghadapi pelbagai mara bahaya yang sedang mengancam semua pihak serta berjuang untuk kepentingan umat serta menangkis sebarang kerosakan yang akan menimpa mereka.

Oleh itu sekiranya tanpa program persidangan yang sedang anda ikuti ini sudah pasti kita tidak akan berjaya mengeluarkan suatu resolusi yang sejajar dengan harapan kita sebagai didikasi kepada umat Islam dalam memenuhi tuntutan keperluan semasa bagi menangani situasi yang sedang melanda dunia ketika ini.

Para hadirin yang mulia, suka saya tegaskan disini bahawa sejak hari pertama saya diberi tanggungjawab menerajui al-Azhar, saya telah mengistiharkan prinsip perpaduan umat itu adalah merupakan sebahagian daripada tujuan keseluruhan syariah diturunkan. Manakala para ulamak umat pula perlu bersepakat didalam sesuatu isu yang penting terutamanya dalam menyentuh isu takfir atau melabelkan individu atau pihak lain dengan kekafiran.

Oleh itu persepakatan golongan ulamak adalah satu cara yang dapat memelihara keamanan dalaman serta survival kita didunia ini bahkan dapat pula memelihara kedamaian sejagat.

Dengan itu memang wajar menimbulkan persoalan tentang kenapakah inisiatif saya yang serius dan kerap kearah perpaduan umat dan persefahaman diantara pelbagai mazhab serta membina hubungan kerjasama golongan ulamak tidak mendapat sambutan yang setimpal bagi mencetuskan harapan yang optimis tentang kemampuan umat ini dalam mengharungi  cabaran yang merintanginya.

Perasaan berkeyakinan yang kental dalam menghadapi cabaran mendatang yang kita pohon dari Allah Taala yang Maha tinggi lagi Maha berkuasa itu kelak akan berhasil ditangan anda semua dengan amal yang ikhlas dan cita-cita yang jujur.

Saudara-saudara sekalian, menurut maklumat yang dipaparkan oleh agama kita yang lurus ini ialah umat kita adalah sebaik-baik umat, kedudukannya yang layak adalah dibarisan hadapan sebagai peneraju.

Al-Azhar al-Syarif sentiasa membuka pintunya kepada semua pihak serta mengalu-alukan kedatangan anda dan al-Azhar juga perlu komited dalam membuat bacaan yang tepat terhadap faktor tempat, persekitaran masa dan menghormati perbezaan pendapat diantara para ulamak.


Kini al-Azhar ingin mengajak seluruh umat Islam yang terdiri daripada para pemimpin negara dan juga rakyat seluruhnya agar mengaplikasikan manhaj wasatiyyah didalam pemikiran, akidah dan juga amalan tepat sebagaimana tuntutan al-Quran dan al-Sunnah demi memelihara umat Islam kini dan dimasa yang akan datang serta bagi menunaikan seruan Allah Taala :

            {وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطاً لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا} {البقرة : 143}
 Ertinya : Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu kejalan yang lurus). Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan RasulluLah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

Saya ucapkan terima kasih diatas perhatian yang tuan-tuan semua.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
    


 Oleh : Syeikh al-Azhar,Dr Ahmad al-Tayyib


Ditulis pada  : 24 Jamadil Awal 1435H
  Bersamaan    : 25 Mac   2014M

Credit :- Penterjemah Syeikh Wan Magdy .. Hayy Asyir
0 Responses

Post a Comment

  • MASA ITU EMAS

    TARIKH HIJRIAH

    ALUNAN BAHASA


    --- تحلّم عن الادنين واستبق ودّهم

    --- ولن تستطيع الحام حتى تحلّما

    --- ونفسك اكرمها فانك ان تهن عليك

    --- فلن تلقى لها الدّهر مكرما

    : berlemah lembutlah dengan kaum kerabat

    : dan kekalkanlah kasih sayang kepada mereka

    : kau tidak akan mampu berlemah lembut sehinggalah kau berlatih berlemah lembut

    : dan dirimu muliakanlah, seandainya kau hina dirimu

    : maka kau tidak akan jumpa sesiapa yg akan muliakan dirimu

    Followers