BUKA KAN SEDIKIT KEWARASAN BERFIKIR

Monday, July 18, 2011

Jangan terperangkap permainan licik ultra kiasu

(Sinar Harian 18 Jul 2011)


Isu ahli politik ultra kiasu berhujah menggunakan Al-Quran dan Hadis bergema lagi. Malah kali ini lebih hebat. Ia dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Saya tidak nampak akan keperluan menggunakan hujah tersebut, kerana golongan ini sejak dari dahulu lagi begitu bongkak dengan keturunan atau lebih obsess dengan hujah-hujah dari sumber bangsanya sendiri dan sumber-sumber barat. Kenapa sejak akhir-akhir ini Quran dan Hadis menjadi mainan bibir?


Saya harap umat Islam tidak terperangkap dengan taktik kotor mereka. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk ke Putrajaya. Jika mereka tertarik dengan Islam, sudah lama mereka memeluk Islam atau bersetuju dengan suruhan dan larangan Islam, yang juga merupakan ajaran agama mereka. Kenapa tiba-tiba Quran dan Hadis dijadikan sandaran berhujah? Cubalah baca taktik ini dari sudut psikologi berbalik agar tidak tertipu. Janganlah berselindung hanya disebabkan oleh kepentingan politik sehingga tidak kenal kawan dan lawan.


Jika mereka sudah berlembut dengan Melayu dan Islam, paling tidakpun, mereka tidak segan silu untuk memakai baju Melayu dan songkok ketika pembukaan DUN atau Parlimen sebagai tanda penghormatan dan penerimaan Islam sebagai agama persekutuan dan orang Melayu Islam sebagai bangsa majoriti. Ini tidak, mereka akan mencari seribu satu alasan untuk mengelakkan diri dari memakai ‘pakaian Islam’ tersebut. Saya berani mengatakan mereka memandang hina kepada cara hidup Melayu dan Islam.


Selama inipun mereka tidak pernah menggunakan ayat al-Quran dan Hadis, kenapa tiba-tiba mereka kelihatan sudah berubah? Apakah hati mereka terbuka dan bersedia menerima Islam? Jika mereka benar-benaru tertarik dengan nilai-nilai Islam, mari kita sama-sama daulatkan suruhan agama dahulu seperti menutup aurat, mengharamkan zina, judi dan sebagainya. Saya cadangkan mereka memetik ayat Quran, soal pengharaman judi, arak, riba, zina dan lain-lain lagi.


Kenapa tidak berhujah menggunakan atau mengambil ayat Quran dan hadis dalam perkara-perkara sebesar ini yang menimbulkan kegawatan sosial? Golongan ini amat licik, mereka akan manipulasikan isu yang menyebelahi mereka, dan menolak perkara yang tidak menyebelahi mereka. Mereka sanggup korbankan agama semata-mata untuk kepentingan politik. Saya tidak mengatakan mereka sahaja yang tidak betul. Kitapun kadangkala tidak betul. Menerima sebahagian ajaran Islam dan menolak sebahagian. Sedangkan semua tahu bahawa kita perlu menerima Islam sepenuhnya.


Tujuan ultra kiasu tidak lain, untuk memukau umat Islam supaya mereka ini hebat. Selepas ini sekutu mereka akan berhujah, “Tengok! UMNOpun tidak berhujah menggunakan Quran Hadis, malah menolak Islam, bukankah lebih baik kita menyokong bukan Islam (ultra kiasu) ini”. Di penghujungnya nanti Umno yang salah, ultra kiasu yang betul.


Ini terbukti apabila ketua ulamak Pas mempertahankan tindakan ADUN ultra kiasu tersebut. Katanya, Pas berpendirian bahawa mempelajari tentang Quran dan Hadis merupakan satu tuntutan yang bukan sahaja perlu digalas oleh seluruh umat Islam, tetapi juga digalakkan ke atas orang yang bukan Islam. “Sebagai orang Islam kita seharusnya menggalakkan penganut agama lain mempelajari tentang al-Quran dan hadis untuk mengenal Islam secara lebih mendalam dan bukannya mengherdik dan bertindak di luar akhlak Islam yang akhirnya menjauhkan bukan Islam dengan Islam. Bagaimana mereka ingin mengenali Islam kiranya kita menghalang mereka untuk mendekati Islam.


Persoalan saya, jika benar-benar mereka percaya kepada Quran dan hadis sudah tentu mereka akan menyokong setiap tindak-tanduk dan dasar-dasar Pas di Kedah dan Kelantan?


Saya tidak kata ultra kiasu tidak boleh berhujah menggunakan Quran dan Hadis, tetapi saya cuba membaca di sebalik taktik mereka yang licik ini. Malah saya tidak akan halang mereka menggunakan kalimah Allah dan membaca Quran jika mereka ini sejak awal lagi ikhlas dan tidak menentang Islam. Apakah kita tidak pernah mengambil iktibar. Apabila kerajaan Kelantan mahu mengharamkan arak, judi, nombor ekor dan sebagainya, merekalah yang paling awal menentang.


Saya tidak kata Umno sudah baik. Malah masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Tetapi jika diberi pilihan antara mempercayai Umno dengan ultra kiasu. Sudah tentu saya memilih Umno. Seburuk-buruk Umno mereka tetap seakidah dan mengucapkan dua kalimah syahadah seperti kita semua. Kita tetap bersaudara walaupun dipisahkan oleh batasan politik, bangsa, bahasa dan warna kulit yang berbeza.


Saya sudah cukup masak dengan taktik mereka untuk mencairkan hati orang Melayu Islam. Mereka begitu masak dengan membaca psikologi orang Melayu. Cuma kita sahaja yang terlalu bersangka baik dan tidak mahu mengambil tahu ataupun berusaha untuk mengkaji psikologi ultra kiasu. Akhirnya, dilihat dari sudut mana sekalipun, kita tetap kalah. Mereka bersatu dalam senyap. Kita terus berperang secara terbuka.


Saya amat musykil kenapa mereka tidak berhujah menggunakan sumber agama atau ajaran masing-masing. Tidak kurang nilai-nilai baik turut diucapkan oleh Konfucius, Lau Tzu, Mencius, Buddha dan sebagainya? Kenapa Islam yang perlu ditonjolkan?


Sama ada mereka ikhlas dengan Islam atau tidak, Tuhan sahaja yang tahu. Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah ultra kiasu tetap ultra kiasu. Sukar untuk dipercayai.


Jika ultra kiasu benar-benar yakin dengan nilai-nilai Islam mereka sepatutnya menyokong Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 - yang melarang pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan. Antara kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.


Parti ultra kiasu Kedah tidak pernah bersetuju dengan larangan ini. Mereka tetap mahu pusat hiburan beroperasi tidak kira bulan apa sekalipun. Adakah mereka sensitif dengan perasaan Melayu dan Islam? Jika ini pendirian mereka, adakah wajarkah kita bersangka baik dengan ultra kiasu ini? Adakah mereka benar-benar insaf dan percaya kepada Quran dan Hadis? Janganlah kita buta semata-mata hendak menumbangkan Umno. Umno boleh datang dan pergi, begitu juga dengan Pas, kerana Umno atau Pas bukan Tuhan.


Umno dan Pas hanyalah parti politik yang diilhamkan oleh manusia atau ciptaan manusia. Ilham dan ciptaan manusia akan lenyap bila tiba masanya. Ciptaan manusia tidak akan mampu mengatasi ciptaan Allah SWT. Apa yang cipta oleh Allah SWT, dunia dan seisinya, juga akan musnah suatu hari ini apabila berlaku kiamat. Yang akan kekal hanya Allah SWT Maha Berkuasa dengan segala apa yang telah dicipta dan akan diwujudkan. Justeru, sebagai makhluk ciptaanNya, janganlah kita terlalu mendabik dada dan bongkak, sehingga tidak dapat membezakan antara saudara dekat dengan saudara jauh atau kawan dengan musuh.


Pada saya Umno dan Pas tidak penting. Apa yang penting adalah pastikan umat Islam memerintah bukan diperintah. Namakan apa jua parti yang akan wujud, selagi mana parti itu memperjuangkan dan menegakkan agama Allah SWT, menjaga umatnya dan tidak bersekongkol dengan musuh, saya pasti akan menyokong.


Belajarlah dari sejarah. Kita dapat lihat dengan jelas, apabila negara asalnya kepunyaan umat Islam dan kemudian diperintah oleh bukan Islam, betapa malangnya nasib umat Islam. Mereka bukan sahaja merempat di bumi sendiri, tetapi sampai ke peringkat ditindas, dianiaya malah ada yang dibunuh, dan jangan harap agama Islam dapat berkembang subur. Jangan pergi jauh lihatlah saudara kita di Singapura. Tidak perlu saya ulas panjang apa yang berlaku di Palestin.


Berbanding dengan apabila Islam memerintah sama ada di negara asalnya atau di negara yang asalnya bukan Islam, orang bukan Islam dapat hidup senang lenang, malah hak-hak mereka dijaga seperti menatang minyak yang penuh. Inilah keadilan Islam. Kenapa? Jawapannya, kita akan ditanya oleh Allah SWT apa yang kita telah lakukan terhadap mereka. Sejarah Islam memerintah Sepanyol memang tidak dapat dipadamkan. Lihatlah keadilan Islam yang terpancar. Malangnya hari ini, keadilan itu tidak dapat lagi dilihat kerana umat Islam telah diperintah setelah jatuhnya empayar Othmaniyyah.


Lebih malang lagi, negara-negara Islam tidak dapat memberikan contoh terbaik. Negara yang diperintah oleh umat Islam sendiri, berserabut dengan masalah dalaman dan perpecahan yang tidak pernah berkesudahan, dibelenggu dengan kemiskinan, dan menjadi umat pengguna semata-mata, bukannya mencipta. Bukan Islam akan memastikan, umat tidak akan naik atau berkuasa kembali.


Saya masih teringat kata-kata seorang ahli politik Perancis, komunis bukanlah ancaman bagi barat. Barat pernah menghadapi komunis sebelum ini, dari segi politik ketenteraan. Bahaya sebenarnya yang mengancam ultra kiasu adalah bahaya Islam. Umat Islam pernah menguasai Eropah. Umat Islam mewarisi semangat jihad yang tinggi. Islam juga memiliki peradaban hebat. Islam pernah dinobatkan sebagai tamadun besar dunia tanpa memerlukan proses pembaratan. Ini hakikat yang tidak dapat dinafikan. Perancangan licik musuh-musuh Islam sudah berakar umbi beribu tahun lamanya. Tidak senang dengan kewujudan Islam, mereka tidak berdiam diri malah mengatur strategi menyerang umat Islam dari setiap penjuru. Sedar atau tidak, sasaran utama adalah pemimpin kepada umat Islam. Jangan kita buta hanya kerana kepentingan politik.


Sentimen politik kepartian kalangan kita terlampau tinggi sehingga menjadi kita buta dalam menilai saudara sendiri. Kita selalu menuduh Umno menolak Islam, tetapi kita juga tumpang semangkok dengan program-program pengislaman Umno seperti perbankan Islam, insuran Islam, pendidikan Islam, mahkamah Syariah dan berbagai lagi produk-produk Islam yang telah diperkenalkan oleh Umno. Sepatutnya Pas bertindak memperkemaskan atau memperkuatkan atau menambahkan lagi program-program Islam sedia ada. Bukannya berdolak dalih daripada negara Islam kepada negara kebajikan. Memang negara kebajikan itu adalah juga sebahagian program dalam negara Islam. Persoalannya, di manakah perjuangan negara Islam dan undang-undang Islam selama ini?


Apakah Pas yakin bahawa mereka boleh melaksanakan undang-undang Islam apabila ditakdirkan mereka memerintah nanti, jika parti ultra kiasu dan PKR tidak merestuinya. Sekarang inipun kerajaan negeri Kedah begitu sukar untuk menutup pusat hiburan ketika Ramadhan selama sebulan. Apatah lagi untuk menutup sepenuhnya. Apakah sekiranya selepas ini Pakatan Rakyat memerintah, mereka dapat melaksanakan Islam sepenuhnya atau sekadar meneruskan sahaja program-program yang dilaksanakan oleh Umno?


Saya tidak menafikan bahawa korupsi dan rasuah tidaklah begitu ketara di bawah kerajaan pimpinan Pas. Saya memuji ketelusan itu walaupun tidak sepenuhnya ia berjalan. Kroni-kroni masih lagi diutamakan terutama dalammemberikan projek-projek kepada ahli-ahli mereka sahaja termasuk perlantikan ahli majlis perbandaran dan dewan bandaraya. Justeru, sudah sampai masa kita membuat muhasabah diri.


Akhirnya, sekalung takziah saya ucapkan atas pemergian ahli parlimen Titiwangsa yang telah menyahut panggilan Ilahi terlebih dahulu. Marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti politik, ideologi, warna kulit dan sebagainya menyedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarhamah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang solehah. Al-Fatihah.
Labels: edit post
0 Responses

Post a Comment

  • MASA ITU EMAS

    TARIKH HIJRIAH

    ALUNAN BAHASA


    --- تحلّم عن الادنين واستبق ودّهم

    --- ولن تستطيع الحام حتى تحلّما

    --- ونفسك اكرمها فانك ان تهن عليك

    --- فلن تلقى لها الدّهر مكرما

    : berlemah lembutlah dengan kaum kerabat

    : dan kekalkanlah kasih sayang kepada mereka

    : kau tidak akan mampu berlemah lembut sehinggalah kau berlatih berlemah lembut

    : dan dirimu muliakanlah, seandainya kau hina dirimu

    : maka kau tidak akan jumpa sesiapa yg akan muliakan dirimu

    Followers