Mengenang Al-Imam Al-Syafi’i


Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin


Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150H-204H) merupakan salah seorang tokoh ilmuwan


agung yang pernah dilahir oleh sejarah kegemilangan Islam. Beliau sebaris dengan jaguh-jaguh


ilmu seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi


Laila, Abi Thaur, al-Imam al-Auza’i, al-Imam Sufyan al-Thauri dan ramai lagi tokoh-tokoh agung


dalam sejarah perkembangan fekah Islam.



Beliau berketurunan Rasulullah s.a.w. Nasabnya bertemu dengan Nabi s.a.w. pada ‘Abd Manaf.


Syafi’ bin al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Nabi s.a.w., namun teragak-agak untuk


menerima Islam. Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera


Islam pada hari peperangan Badr. Beliau lalu ditawan oleh tentera Islam dan telah menebus


dirinya sendiri, kemudian menganut Islam.( Ibn Khallikan,Wafayat al-A’yan, 2/312).



Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin.


Bapanya meninggal semasa muda. Maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya. Ibunya


bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke


tempat asal keturunannya iaitu Mekah (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 10/6). Semasa kecilnya


beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya. Kemudian berminat


dengan bahasa ‘Arab dan sya‘ir, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu


beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya. (ibid, 10/6.)



Beliau terkenal dengan keikhlasannya terhadap ilmu. Walaupun amat menyayangi gurunya al-Imam


Malik bin Anas dan gurunya juga menyayanginya, namun tidak pernah membuat beliau fanatik atau


taksub kepada mazhab atau aliran fekah gurunya itu. Bahkan sejarah telah mencatatkan beliau


telah menyanggahi pendapat-pendapat al-Imam Malik. Apabila al-Syafi’i datang ke Mesir, pada


awalnya dia disambut oleh para pengikut Mazhab Malik kerana dia adalah seorang murid utama


al-Imam Malik. Namun lama-kelamaan apabila mereka dapati dia menyanggahi Mazhab Malik


mereka meninggal dan membantahnya. Bahkan ada di kalangan mereka yang mendoakan agar


Allah mematikannya demi memelihara Mazhab Maliki (Al-Zahabi,Siyar A’lam al-Nubala` , 10/71-72).



Namun bagi al-Imam al-Syafi’i nilai taksub ini tiada padanya. Kebenaran lebih dicintai walaupun


terpaksa menyanggahi gurunya sendiri. Penghormatan bukan bermaksud mengikuti setiap


perkataannya. Kata al-Zahabi:



“Tidak syak sesungguh al-Imam al-Syafi’i apabila tinggal di Mesir lalu menyanggahi dan


melemahkan beberapa pandangan fekah para ulama semasa dari Mazhab Maliki dengan dalil-


dalil al-Sunnah, maka mereka terasa perit kerananya dan mereka menyakitkannya kembali.


Berlakulah antara mereka ketegangan. Semoga Allah mengampunkan kesemua mereka..”( Al-


Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala` , 10/95).




Kata Muhammad Abu Zahrah:



“Sesungguhnya keikhlasan al-Syafi’i dalam menegakkan kebenaran sentiasa bersamanya


sepanjang hayatnya. Sehingga dia menegakkan kebenaran di mana sahaja dia berada. Jika


bertembung keikhlasannya itu dengan apa yang menjadi kebiasaan fahaman orang ramai, dia


tetap akan menjelaskan pandangan-pandangannya dengan berani. Jika bertembung


keikhlasannya kepada kebenaran dengan keikhlasannya kepada guru-gurunya, dia tetap akan


mendahulukan kebenaran. Keikhlasannya pada gurunya al-Imam Malik tidak pernah menghalang


beliau menyanggahinya selepas beliau teragak-agak untuk mengistiharkannya. Namun setelah


sampai berita kepadanya bahawa ada pihak di Andalus yang meminta hujan dengan


menggunakan (tawassul dengan) kopiah al-Imam Malik maka dia mengistiharkan bukunya untuk


orang ramai. Tujuannya agar mereka tahu bahawa al-Malik adalah manusia yang terdedah


kepada salah dan betul.” (Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, m.s.455).



Fanatik mazhab telah menyebabkan dalam kalangan penduduk Andalus ada yang


apabila berlaku kemarau atau kelewatan hujan, maka mereka akan solat istisqa` (minta hujan)


dengan meletakkan kopiah al-Imam Malik di hadapan dan bertawasul dengannya. Bahkan di


kalangan pengikut Malik di Mesir ada yang apabila dibaca hadis Nabi s.a.w., mereka menjawab


dengan menyebut “berkata imam dan syaikh kami Malik..”Mereka menolak hadis demi membela


pendapat imam mereka (lihat: ‘Abd al-Rahman al-Syarkawi, Aimmah al-Fiqh al-Tis’ah,


www.qudsway.com/Links/Islamiyiat). Al-Imam al-Syafi’i menulis kitab menjawab pandangan-


pandangan al-Imam Malik demi memahamkan pengikut mazhab tersebut bahawa imam mereka


tidak maksum.



Penampilannya dengan hujah dan ilmu menjadikan beliau tokoh ilmuwan yang tidak diragui


kehandalannya. Bahkan beliau tersenarai dalam kalangan mujaddid yang diiktiraf umat. Namun,


seperti biasa setiap tokoh mempunyai penyokong dan musuh. Dalam kalangan musuh dan


penyokong itu pula ada yang melampau dan ada yang sederhana.



Golongan yang melampau dalam sokongan akan memuji melebihi batasan yang patut. Demikian


juga yang memusuhi apabila melampau akan menuduh dan mencipta tuduh yang bukan-bukan.


Antara yang melampau memuji menyatakan di kuburnya ada tapak kaki Rasulullah s.a.w


menziarahi al-Imam al-Syafi’i. Ini juga beberapa kali disiarkan di stesyen televisyen kita.


Sedangkan beliau meninggal dunia selepas hampir 200 tahun Rasulullah wafat. Jika beliau


membantah kemelampauan tindakan pengikut al-Imam Malik bin Anas, apakah beliau akan redha


dengan dakwaan yang seperti ini ?!



Saya agak tertarik dengan ulasan Muhammad Na’im al-Irqususi terhadap riwayat mimpi Abu Ja’far


yang menceritakan:



“Aku lihat dalam mimpiku Nabi s.a.w. dalam masjid baginda di Madinah. Seakan aku datang dan


memberi salam kepada baginda dan berkata: “Aku tulis pendapat Malik?. Jawab baginda: Tidak!.


Aku bertanya: “Aku tulis pendapat Abu Hanifah?” Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis


pendapat al-Syafi’i?. Baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda begini –seakan baginda


mengherdikku- “Kau kata pendapat al-Syafi’i?!! Itu bukannya pendapat, tetapi jawapan kepada


sesiapa yang menyanggahi sunnahku”. Al-Irqususi mengulas: “Bila pulak mimpi menjadi hujjah di


sisi ahli ilmu?!!. Malik, Abu Hanifah dan selain mereka adalah dari kalangan para imam yang adil



lagi dipercayai (thiqah). Mereka berijtihad. Mereka menepati sebahagian besar apa yang mereka


ijtihadkan dan tersilap dalam sesetengah perkara. Setiap orang boleh diterima dan ditolak


pendapatnya. Maka apa lagi?!! (Siyar A’lam al-Nubala, 10/43).



Namun riwayat mimpi seperti ini selalu dijadikan hujah oleh golongan fanatik.


Dalam kalangan fanatik permusuhan kepada imam yang agung ini ada yang menuduhnya sebagai


syiah dan beberapa tuduhan yang lain. Sehingga di zamannya beliau ditangkap dan digari. Al-


Zahabi (meninggal 748H) menyebut



“Sebahagian manusia mencercanya, namun itu semua menaikkan ketinggian dan kemuliaannya.


Ternyata bagi yang mereka yang insaf bahawa ulasan mereka yang menyaingi beliau (al-Syafi’i)


mengandungi hawa nafsu. Jarang sekali seseorang yang muncul keimamannya (ketokohan


ilmunya) dan menjawab sesesiapa yang berbeza pandangan dengannya melainkan dia akan


dimusuhi. Kita memohon perlindungan dengan Allah dari hawa nafsu”. (Siyar A’lam al-Nubala,


10/9).



Bahkan ada yang mencipta hadis palsu kerana fanatik kepada Mazhab Abu Hanifah lalu mencerca


al-Imam al-Syafi’i. Disebut dalam hadis palsu itu, kononnya Nabi s.a.w bersabda: “Akan ada


dalam kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris (al-Syafi’i), dia


memberi mudarat kepada umatku lebih daripada iblis. Akan ada pula seorang lelaki di kalangan


umatku dipanggil Abu Hanifah, dia adalah lampu umatku, dia adalah lampu umatku). Hadis ini


direka oleh Makmun bin Ahmad al-Harawi yang hasad dengan perkembangan pengikut al-Imam


al-Syafi’i di Khurasan (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182). Kata al-Jarahi (meninggal 1162H):


“Tiada suatu pun hadis sahih mengenai pujian atau cercaan terhadap Abu Hanifah dan al-Syafi’i.


Semua yang disebut mengenai hal berkenaan adalah palsu lagi dusta”


(al-Jarahi, Kasyf al-Khafa,, 2/420).


Sementara kisah bohong lain seperti dalam buku al-Rihlah ila al-Rasyid pula memfitnah al-Imam


Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani, dua tokoh dalam Mazhab Abu Hanifah


berusaha membunuh al-Imam al-Syafi’i. Demikianlah timbulnya buruk-memburuk disebabkan


fanatic mazhab.



Al-Imam al-Syafi’i ialah imam yang mulia seperti para imam tokoh ilmuwan silam yang lain. Mereka


tidak maksum, tetapi mereka semua sarjana besar. Kita tidak perlu fanatik kepada mana-mana


dalam kalangan mereka, sebaliknya membaca dan cuba memahami penghujahan mereka secara


terbuka dan membaca alasan-alasan mereka secara perbandingan.



Tidak pernah mereka mengajar untuk kita berkata “siapa tidak ikut mazhab aku maka dia sesat”.


Bahkan mereka menggalakkan penerokaan ilmu. Kesemua kemelampauan itu datang dari


golongan fanatik yang selepas mereka. Bahkan ramai yang mendakwa mazhab Syafi’i atau


Hanbali atau Hanafi atau Maliki, tidak pula meneliti sendiri tulisan dan perkataan imam-imam itu,


sebaliknya sekadar mengajuk dakwaan orang lain yang mendakwa demikian. Lalu ada yang


menuduh orang lain tidak mazhab Syafi’i hanya kerana menyanggahi pendapatnya, padahal belum


tentu pendapatnya itu sama dengan al-Imam al-Syafi’i yang sebenar. Fanatik sentiasa membuta


mata ramai orang.

0 Responses

Post a Comment

  • MASA ITU EMAS

    TARIKH HIJRIAH

    ALUNAN BAHASA


    --- تحلّم عن الادنين واستبق ودّهم

    --- ولن تستطيع الحام حتى تحلّما

    --- ونفسك اكرمها فانك ان تهن عليك

    --- فلن تلقى لها الدّهر مكرما

    : berlemah lembutlah dengan kaum kerabat

    : dan kekalkanlah kasih sayang kepada mereka

    : kau tidak akan mampu berlemah lembut sehinggalah kau berlatih berlemah lembut

    : dan dirimu muliakanlah, seandainya kau hina dirimu

    : maka kau tidak akan jumpa sesiapa yg akan muliakan dirimu

    Followers