Ibnu Battutah menjadi terkenal kerana karya mengenai kembaranya yang dikenali dengan nama Rihlah Ibnu Battutah. Dalam tulisan tersebut dicatatkan sejarah atau kisah pengembaraan dan pelayaran beliau ke berbagai negara.
Di samping menghargai karya tersebut, kita juga perlu akur bahawa terbukti dalam beberapa hal karya tersebut kurang teliti dan amanah. Apatah lagi Ibnu Battutah bukan terdiri di kalangan ahli periwayataan yang dipegang. Banyak perkara yang disebutkan dalam karya tersebut mendedahkan adanya unsur ketidaktelusan dalam menghidangkan sesuatu kisah.
Justeru kita dapati, catatan tersebut tidak dianggap sebagai rujukan muktabar dalam bidang sejarah. Ramai pengkaji dan muhaqqiq mengkritik dan membongkarkan penyelewengan fakta yang terkandung dalamnya. Antara muhaqqiq Hasan al-Saih ketika memberi aluan kepada kitab Taj al-Mafriq fi Tahliyyah `Ulama’ al-Masyriq menyatakan bahawa Ibnu Battutah kemungkinan hanya mendengar nama tokoh-tokoh ulama tertentu di negeri-negeri yang dilawati, lalu dia menyebut nama mereka seakan-akan dia benar-benar berjumpa sekalipun dia tidak bertemu sendiri dengan mereka. Sebaliknya sekadar mengambil cerita daripada orang lain.
Kisah kembara Ibnu Battutah mempunyai banyak cerita dongeng yang digambarkan seakan Ibnu Battutah melihatnya sendiri. Antaranya cerita dia melawat beberapa pulau dan negeri yang wanita-wanitanya hanya mempunyai satu buah dada.
Dalam buku Hayat Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, penulisnya iaitu tokoh ulama Syam terbilang Muhammad Bahjah al-Baitar menyatakan bahawa buku kembara Ibnu Battutah penuh dengan cerita pelik lagi tidak masuk akal dan palsu. Cerita ini diambil daripada orang ramai yang dia dengar di negeri-negeri yang dikunjungi, tanpa sebarang penilaian.
Umpamanya beliau menyatakan di tengah Masjid Umawi di Damsyik ada makam Nabi Zakaria a.s., sedangkan yang diketahui ia adalah makam Yahya a.s. Juga dakwaannya kononnya dia membaca di dalam Fadail al-Dimasyq daripada Sufyan al-Thauri bahawa solat di Masjid Damsyik sama dengan pahala 30,000 solat.
Kita tahu bahawa perkara seperti ini tidak boleh dibuat dengan andaian akal. Orang yang seperti Sufyan al-Thauri tidak akan membuat dakwaan seperti ini yang tidak mempunyai sebarang dalil. Dakwaan ini telah melebihkan Masjid Damsyik ke atas Masjid Nabi dan Masjid al-Aqsa. Kedua-dua masjid tersebut pun tidak sampai ke darjat yang seperti ini. Mustahil tokoh hadis dan warak seperti Sufyan al-Thauri membuat dakwaan ini, melainkan satu pembohongan terhadapnya. Apatah lagi Masjid Damsyik belum wujud pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Bahkan Ibnu Battutah mengakui fadilat bernazar untuk kubur-kubur utama jika seseorang dalam kesusahan dipukul angin kencang di tengah lautan. Sedangkan dalam keadaan tersebut golongan musyrikin pun akan terus berdoa kepada Allah tanpa sebarang syirik. Malangnya Ibnu Battutah dapat menerima dan mengakui nazar yang seperti ini. Firman Allah (Surah al-Ankabut: 65): (terjemahannya): Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan ikhlas semata-mata kepada-Nya agama. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya.
Ada kemungkinan ketidaktelusan itu bukan berpunca dari Ibnu Battutah itu sendiri. Barangkali telah berlaku penyelewengan terhadap tulisan beliau. Ini mungkin datang daripada penyalin semula tulisan tersebut. Jika diteliti, sebenarnya orang yang menulis buku Rihlah Ibnu Battutah yang ada di tangan kita sekarang bukanlah Ibnu Battutah sendiri.
Orang yang menulis buku tersebut ialah Ibnu Juzzi al-Kalbi, seorang penulis dari Maghribi yang memberikan pendahuluan yang panjang untuk buku tersebut. Justeru pada awal tulisannya, setelah memuji Allah, beliau telah memuji sultannya iaitu Abu Inan, pemerintah Fas, Maghribi. Beliau menyifatkan sultannya sebagai “bayangan Allah yang memanjang untuk manusia, tali Allah yang mesti dipegang, mentaatinya adalah digabungkan diri” sehinggalah beliau menceritakan bagaimana Ibnu Battutah bertemu dengan sultan tersebut.
Keraguan
Pada akhir buku tersebut beliau menyebut perkara yang benar-benar menimbulkan keraguan, iaitu “inilah apa yang aku ringkaskan daripada coretan al-Syeikh Abi Abd Allah Muhammad bin Battutah.” Kenyataan ini menunjukkan bahawa buku asal memang ditulis oleh Ibnu Battutah. Cuma yang ada di tangan kita ialah ringkasan dan suntingan. Lebih dari itu, ia juga menunjukkan bukan Ibnu Battutah yang menceritakan secara langsung kepada Ibnu Juzzi, sebaliknya beliau mengambil dari naskhah Ibnu Battutah dan meringkas atau menyuntingkannya.
Justeru tokoh pengkaji manuskrip Dr. Yusuf Zaidan menyatakan: “Bukan sesuatu yang tepat untuk menyatakan bahawa Ibnu Battutah sebagai penulis (buku tersebut)” (lihat: Dr. Yusuf Zaidan, Al-Janib al-Dablumasi fi Rihlatai: Ibnu Battutah wa Khair al-Din al-Tunusi, www.zeidan.com).
Sama ada Ibnu Juzzi al-Kalbi atau Ibnu Battutah sendiri, yang pasti buku tersebut banyak unsur ketidaktelusan faktanya. Antara ketidaktelusan buku tersebut, dakwaannya terhadap Ibnu Taimiyyah r.h. kononnya: “Ketika aku berada di Damsyik, aku menghadiri Ibnu Taimiyyah pada hari Jumaat. Ketika itu dia sedang menasihati dan mengingatkan orang ramai di atas mimbar Masjid Damsyik. Antara ucapannya: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia seperti aku turun ini,” dan dia pun turun satu tangga demi satu tangga mimbar.”
Banyak pihak yang kurang cermat telah terpengaruh dengan cerita bohong ini. Mereka menjadikannya alasan untuk memfitnah Ibnu Taimiyyah kononnya beliau menyamakan Allah dengan dirinya. Sebahagian mereka mewarisi perkara ini tanpa sebarang kajian. Mereka menuduh Ibnu Taimiyyah sedangkan mereka tidak pernah pun meneliti tulisan-tulisannya yang menjadi khazanah ilmu Islam yang dipakai hampir di seluruh pusat pengajian Islam di dunia sekarang. Mereka menerima tohmahan terhadap seorang tokoh agung hanya semata disebabkan catatan seorang pengembara tanpa sebarang kepastian.
Para ulama yang ikhlas telah bangun menjawab fitnah Ibnu Battutah ini. Antaranya apa yang ditulis Muhammad Bahjah al-Baitar dalam bukunya “Hayat Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah.” Antara jawapan beliau yang panjang lebar itu:
Ibnu Battutah sebenarnya tidak mendengar perkara tersebut daripada Ibnu Taimiyyah sama sekali. Ia hanyalah satu pembohongan. Buktinya, dalam catatannya, beliau sampai ke Damsyik pada hari Khamis, 19 Ramadan tahun 726H, sedangkan Ibnu Taimiyyah telah dipenjarakan pada awal bulan Syaaban tahun tersebut, dan terus berada dalam penjara sehingga meninggal pada malam Isnin 20 Zulkaedah tahun 728H. Bagaimana mungkin Ibnu Battutah melihatnya?
Ibnu Taimiyyah tidak pernah menjadi khatib Masjid Damsyik, seperti yang didakwa oleh Ibnu Battutah. Beliau tidak pernah memberi nasihat atau kuliahnya kepada orang ramai di atas mimbar masjid tersebut. Beliau hanyalah memberikan kuliah pengajiannya di atas kerusi sahaja. Ini seperti yang disebut oleh anak-anak muridnya yang menulis sejarahnya, antara mereka Al-Imam Zahabi.
Tulisan-tulisan Ibnu Taimiyyah menafikan hal ini. Antaranya pegangan akidah Ibnu Taimiyyah yang dipetik oleh Ibnu Nasir al-Din al-Syafi’i dalan al-Radd al-Wafir: “Mazhab Salaf, para imam yang empat dan selain mereka ialah menithbatkan (menetapkan sifat Allah) tanpa tasybih (menyerupakan dengan sesuatu), menyucikan-Nya tanpa ta’til (menghilangkan fungsi sifat). Tidak boleh bagi seseorang meletakkan sesuatu pegangan atau ibarah (huraian atau rangkaian ucapan) daripada dirinya sendirinya. Bahkan dia hendaklah mengikut dalil bukan membuat bidaah.”
Di sana ada lagi jawapan-jawapan yang dinyatakan oleh Al-Syeikh Muhammad Bahjah al-Baitar, sesiapa yang inginkan pendetilan dia boleh merujuk kepada kitab tersebut.
Demikian juga Muhaqqiq Rihlah Ibnu Battutah sendiri, Dr. Ali al-Muntasir mengulas kisah tersebut: “Ini semata-mata pembohongan terhadap Al-Syeikh Ibnu Taimiyyah. Beliau ditangkap di Penjara Damsyik sebulan sebelum ketibaan Ibnu Battutah. Sejarawan telah sepakat bahawa dia dikurung di Penjara Damsyik kali yang akhir pada 6 Syaaban tahun 726H dan tidak keluar melainkan setelah meninggal. Sedang Ibnu Battutah menyebut dalam kitabnya dia sampai ke Damsyik pada 9 Ramadan.”
Setelah kita mengetahui hal ini, apakah wajar kita menerima sesuatu cerita yang mentohmah seorang Muslim, apatah lagi seorang sarjana Muslim hanya semata-mata disebabkan berita yang dipertikaikan. Lupakah kita kepada firman Allah: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seseorang fasik membawa berita, maka selidikilah, agar kamu tidak menimpakan (hukuman) kepada sesuatu kaum dengan secara jahil, lalu kamu akan menyesal.
MUHARRAM BUKAN BULAN NABI BERHIJRAH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
1. Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar al-Khattab r.a. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi. Maka, telah berlaku salahfaham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi s.a.w berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.
2. Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan ‘Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.
Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam Namun ditolak oleh Amirul al-Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi s.a.w berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.
Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan. Namun, Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a menolaknya kemudian memilih bulan Muharram. Ini disebabkan bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi s.a.w berhijrah.
3. Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:
Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).
Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalender Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi s.a.w berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama bagi kalendar hijrah.
4. Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).
5. Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelas bulan muharram bukanlah bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya; baginda keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi s.a.w pada Rabiul Awwal. Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi s.a.w.
6. Penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam. Walaupun idea itu bermula dari cadangan meniru cara pengurusan bukan muslim, tetapi meniru bukan muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam. Langkah Saidina Umar r.a. itu telah membantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi tahun hijrah bukanlah bagi mengujudkan satu upacara agama, tetapi untuk urus tadbir umat.
7. Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a bukan pada zaman Rasulullah s.a.w, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman baginda. Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi s.a.w dan al-Khalafa al-Rasyidin.
8. Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah.
9. Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik.
