Alhamdulillah... lama x masuk bilik ni..sedang2 mencuci sarang lelawang alang2 mahu juga berkongsi sedikit kalam dr Syeikh Al-Azhar ... Dr Ahmad Tayyib berkenaan isu kafir mengkafir sesama muslim... Isu ini berbangkit semula dalam kancah politik di bumi Mesir kerana sudah terlalu jelas tindakan sebahagian umat di sini khususnya mengkafir antara satu sama lain.. Oleh itu pihak Al-Azhar sendiri cuba berusaha meredakan kembali isu ini dengan cuba melihat penilaian2 ilmiah untuk sama2 kembali berfikir sebelum bertindak.. Saya kemukakan ucapan beliau yang sudah diterjemahkan .
Di sini bukan untuk berbincang berkenaan Asyairah, Maturidiah atau Manhaj Salaf dalam Akidah... kerana semua itu adalah ahli sunna wal jamaah. Tetapi isu yang cuba diketengahkan adalah berpolitik dan kafir mengkafir sesama muslim...
بسم الله
الرحمن الرحيم
الحمدُ للهِ والصلاةُ والسلامُ على سيدنا رسول الله وعلى
آله وصحبِه ومن اهتدى بهداه.
السلام عليكم
ورحمة الله وبركاته... وبعد
Dengan
nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang. Segala puji-pujian itu hanya
bagi Allah dan salawat serta salam keatas junjungan besar kita RasulLulah saw
dan kepada keluarganya, para sahabatnya dan juga kepada mereka yang mendapat
hidayah daripada Allah.
Selamat datang kepada anda
semua dan selamat datang ketanah air anda yang kedua iaitu Mesir yang dikenali
dengan nama jolokan “ ardul Kinanah ”.
Saya berdoa agar anda semua mendapat petunjuk dari Allah dalam persidangan ini
yang akan membincangkan satu isu paling penting
yang menyentuh masyarakat Islam dan arab pada masa kini.
Fenomena mengkafirkan orang Islam serta mengeluarkan
fatwa tanpa menurut panduan sehingga menghalalkan perbuatan membunuh dan
memerangi orang Islam yang lain adalah merupakan satu bencana besar yang
membawa masyarakat kita menanggung kejerihan hidup yang amat pahit.
Sebenarnya kita telah
menyangka bahawa kumpulan yang menganut fahaman takfiriyah ini telah pulih
kesedaran mereka serta cuba memahami agama mereka dengan kefahaman yang sebenar serta meninggalkan pegangan buruk tersebut
bersama-sama dengan kesan sampingannya yang memusnahkan itu semenjak tahun 90an
pada kurun yang lalu. Ketika itu gejala takfiriyah aktif di Mesir dan juga dibeberapa
buah negara serta sebahagian dari benua dunia ini.
Sejak akhir-akhir ini secara
tiba-tiba pula kita telah dikejutkan semula dengan bahana kecelakaan itu yang
datang menyerang negara kita dengan rupanya yang amat ganas serta mengganggu keharmonian
hidup seluruh dunia arab dan Islam di Asia dan juga Afrika.
Fenomena serangan ganas itu
dapat dilihat dalam pelbagai bentuk seperti pembunuhan, kemusnahan, letupan dan
serangan terhadap orang awam yang hidup aman damai tanpa sebarang dosa lalu menukarkan
realiti kehidupan manusia kepada kerosakan yang tidak terdaya dipikul oleh bahu
mereka.
Perasaan menjadi terlalu
sedih apabila semua jenayah tersebut dilakukan di atas sempena nama agama Islam
dan syariatnya yang bersifat toleransi. Manakala operasi keganasan pula dilaksanakan
seiring dengan laungan La-ilaha ilalLah dan suara takbir Allahu al-Akbar serta
beralasan tindakan itu adalah sebagai menunaikan kewajipan berjihad dan mati syahid
di jalan Allah.
Senario ini telah
diekspoiltasikan oleh media barat sepenuhnya dalam memburukan reputasi agama
Islam. Mereka menghidangkan kepada masyarakat dunia bahawa Islam adalah sebuah
agama yang ganas, sentiasa kehausan kepada darah manusia. Agama yang membunuh anggota
masyarakat awam yang tidak berdosa, menggalakan perbuatan kekerasan, kebencian,
menyemarakan sentimen hasad dengki di antara sesama penganutnya.
Gejala takfiriyah(menghukum
kafir pada seseorang) individu lain yang tidak sehaluan dengan mereka sebagai kafir di mana
kesannya membawa kepada pertumpahan darah. Sebenarnya persoalan ini bukanlah
perkara baru di dalam masyarakat Islam malah cara memahami fekah yang mereka
berpegang itu juga bukanlah satu bentuk
yang baru.
Kita semua telah pun
mempelajari sejarah tentang golongan khawarij, di mana kelahiran kumpulan ini pada
awal penubuhan negara Islam.
Cuba kita lihat bagaimankah
fikrah takfir ini bertukar menjadi suatu bencana di mana ianya bertolak dari
kesan penyelewangan pada masa lalu dalam gambarannya menyentuh dua bidang iaitu bidang akidah dan juga fekah. Maksud
saya di sini ialah mereka salah faham dalam
memahami hubungan di antara konsep beriman kepada Allah itu adalah
sebagai asas manakala amal perbuatan itu adalah sebagai cabang atau furuk
kepada asas tadi.
Proses penyelewangan ini berlaku
ketika mereka berpegang kepada beberapa penafsiran yang jelas kemudian mereka
perpusing dari kejelasan itu kepada pengertian maksud lain yang bertentangan. Setelah
itu mereka menyeru agar menukarkan pegangan kefahaman mereka yang lalu dan
kekal berpegang hanya kepada sebahagian nas-nas al-Quran sahaja.
Memang di dalam bicara singkat ini kami tidak
mampu memberi penerangan secara terperinci mengenai tajuk di atas yang mengupas
tentang sejarah kelahiran fikrah takfiriyah, sebab-sebab timbul serta
perkembangannya, dasar akidah dan juga manhaj golongan ini. Walaupun begitu ada juga
kebaikan, sekiranya saya sentuh secara ringkas tentang bagaimana isu takfir ini
dapat kembali ke pentas serta mencari punca yang memberi laluan kepada gejala
ini untuk bertapak dan aktif semula dengan programnya yang merosakan.
Perbincangan seterusnya akan
memberi kita maklumat sejarah kumpulan takfiriyah di mana masyarakat kita di
Mesir, begitu juga dunia arab dan Islam tidak mengetahui sejarah munculnya
jamaah tersebut yang berpegang kepada prinsip bahawa tidak menjadi suatu
kesalahan mengkafirkan masyarakat sekarang serta menganggapkan status mereka
masih berada dalam era jahiliah. Kumpulan itu juga berpendapat wajib memisahkan diri secara perasaan dengan
anggota masyarakat yang berada disekeliling mereka. Peristiwa ini berlaku
sebelum tahun 1967 pada kurun yang lalu.
Sepertimana yang kita maklum
jamaah takfiriyah baru telah lahir dari dalam penjara dan juga sel-sel tahanan
yang merupakan kesan lanjutan dari polisi kekerasan dan tekanan penindasan yang
dikenakan keatas belia-belia yang menjadi anggota harakah Islamiah. Semasa di dalam
penjara sebahagian daripada mereka diminta untuk menyatakan sokongan kepada
pemerintah. Majoritinya membuat kenyataan bertulis menyokong pemerintah.
Sementara itu terdapat
sebilangan kecil daripada mereka menolak tawaran itu dan menganggap sesiapa
yang menerima tawaran itu beerti ia telah melarikan diri daripada perjuangan
agama. Kumpulan minoriti ini pula mengambil sikap mengekalkan prinsip menolak
tawaran menyokong pemerintah dan manifestasi dari tindakan itu kehidupan mereka
menjadi terpisah dari teman-teman seperjuangan mereka yang lain.
Seterusnya mereka membuat
deklarasi terbuka dengan melabelkan teman-teman mereka yang menyokong pemerintah
telah menjadi kafir kerana menyokong sebuah kerajaan yang sifatnya kafir.
Mereka juga mengistiharkan setiap individu masyarakat turut menjadi kafir juga
kerana mereka cenderong kearah pemerintah yang tidak Islamis.
Lanjutan dari itu sembahyang
dan puasa yang ditunaikan oleh individu masyarakat hanya sia-sia dan tidak
mendatangkan sebarang faedah. Mereka juga menyatakan untuk membersihkan diri
dari kekafiran itu adalah dengan menyertai jamaah serta memberi baiah kepada
imam mereka.
Peristiwa ini kemungkinan
merupakan titik permulaan munculnya jamaah takfir disekitar tahun 1967 M,
selepas lenyapnya kaum khawarij dan kumpulan bathiniah yang lain, kini telah
berkubur di dalam lipatan sejarah. Demikianlah proses kembalinya jamaah takfir
baru yang terbentuk ditangan para belia muda yang tidak memiliki sebarang
kelayakan ilmiah dan ilmu pengetahuan bagi memahami agama Islam. Mereka
hanya memiliki bahang semangat dan kekuatan tindak balas yang ganas.
Perasaan
dendam yang lahir dari peribadi yang lemah dan tidak bermaya menanggung seksaan
dari penyeksa yang kejam maka alternatif takfir adalah sebagai satu formula
jalan keluar yang idealis dan lebih cepat bagi menyampaikan gambaran jelas
terhadap penderitaan yang mereka lalui .
Disini
kita dapat memahami bahawa sumber hukum dan fikrah keagamaan mereka bukanlah
berasaskan dari ilmu pengetahuan yang
mantap serta pemikiran yang matang sebaliknya
lahir dari tindak balas realiti kehidupan yang diseliputi dengan
kekerasan dan tekanan kezaliman.
Oleh itu
kita juga menyedari mengenai beberapa individu yang menjadi pendukung kepada
gerakan ini telah meletakan metodologi takfir di dalam tentatif program haraki
mereka tetapi realitinya ia adalah satu
“ idea bermasalah. ”
Idea bermasalah
itu bukanlah satu kurikulum di dalam harakah Islamiah walaupun ianya dianuti
oleh ramai pendukungnya.
Menurut pendapat yang lain pula bahawa sejarah
kelahiran pemikiran takfir terkini bukanlah terbentuk ditangan belia-belia yang
mengistiharkan pemerintah dan masyarakat ketika itu adalah kafir sedang mereka
berada didalam sel-sel penjara dipertengahan tahun 60an di kurun kedua puluh
yang lalu.
Tetapi
pemikiran takfiriyah yang terbaru adalah lahir pada tahun 1968M di dalam penjara
di tangan sebuah jamaah lain yang menggelar diri mereka sebagai jamaah Islamiah
dan kemudiannya dikenali dengan nama baru mereka “ Jamaah Takfir Walhijrah. ”
Setelah itu banyak kumpulan jamaah Islam yang lain terpengaruh dengan pemikiran
mereka.
Di atas
apa alasan sekalipun mengenai kelahiran pemikiran takfir ini, yang jelas dan tidak
dapat disangkal kebenarannya ialah sel-sel penjara dan suasana persekitarannya
yang di penuhi dengan pelbagai pencerobohan yang berlaku pada ketika itu telah
mendorong para belia menganut kefahaman yang rosak dan membina tanggapan buruk.
Oleh itu
sesiapa yang berkesempatan meneliti kembali buku-buku yang ditulis pada ketika
prinsip kebebasan dalam kehidupan dirampas semenjak dahulu dan kini pasti ianya
akan menyaksikan sebuah khazanah yang kaya dengan idea pemikiran dan
fikrah-fikrah. Sekiranya semua hasil pemikiran dan fikrah itu pula ditakdirkan
tertulis di dalam suasana yang dinaungi oleh kebebasan nescaya ianya akan
berbeza sama sekali dari segi rupa bentuk serta isi kandungannya.
Selain
dari itu, penjara bukan sahaja satu sebab yang mengembalikan semula fikrah
takfir pada masa kini tetapi di sana terdapat sebab-sebab sampingan yang lain saya
akan paparkan di sini. Faktor sampingan yang lain ialah keterlaluan memberi
sokongan dan dorongan dalam menyuburkan program ceramah yang berisi sentimen
kafir mengkafir untuk dihalakan kearah kumpulan yang lain.
Begitulah
keadaannya program itu telah menjadi satu tradisi warisan sejarah yang panjang berkesinambungan, kemungkinan kita boleh
namakan jaluran itu sebagai tradisi ekstrim dan melampau didalam pemikiran
Islam. Turas tradisi ini telah menggambarkan semenjak kelahirannya satu
identiti budaya songsang yang nyata berbeza dari akidah sebenar yang difahami
oleh umat Islam dan semua penganutnya.
Oleh itu
secara pukalnya boleh dikatakan ia adalah satu tradisi yang seiras didalam satu
aspek atau lebih kepada turas tradisi golongan khawarij yang mana telah diberi
peringatan mengenainya oleh Nabi saw
manakala jumhur awam umat Islam bersepakat menolak golongan tersebut semenjak
dahulu sehingga kini.
Menurut apa
yang saya faham punca berlakunya kekhilafan di antara akidah golongan takfir
dengan akidah yang menjadi pegangan seluruh para imam mazhab adalah terselindung
di dalam perkara yang dikenali sebagai perbahasan iman dan Islam disisi ulamak
usuludin serta kaitan di antara amal perbuatan dengan intipati iman itu serta
hakikatnya yang sebenar.
Para
ulamak yang mulia, saya memohon kebenaran anda bagi mengulangi sekali lagi
kepada anda semua, satu konsep akidah ahli sunnah waljamaah walaupun ianya
bukanlah suatu perkara baru kepada anda semua tetapi amat kerap berlaku ialah persoalan
penting ini telah hilang dari fokus ramai para pengkaji, pemerhati dan juga
penganalisa.
Kini
betapa perlunya tema perbahasan mengenai konsep akidah ahli sunnah waljamaah
itu dipaparkan semula di sini. Saudara-saudara semua, sepertimana yang telah
anda maklum bahawa mazhab ahli sunnah waljamaah dalam menghuraikan konsep
hakikat iman itu ialah membenarkan di dalam hati prinsip beriman kepada Allah,
malaikatNya, kitabNya, rasulNya dan kepada hari akhirat seterusnya seperti apa
yang datang didalam beberapa hadis sahih yang menafsirkan konsep iman bererti
pegangan didalam hati yang teguh.
Nabi saw
telah menyatakan konsep iman itu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim
didalam kitab hadis sahih muslim dengan katanya : Bahawasanya beriman dengan
Allah, malaikatNya, kitabNya, bertemu denganNya, rasulNya dan beriman dengan
hari kebangkitan.
Manakala
amalan sembahyang, puasa, zakat, haji, amal perbuatan yang wajib dilaksanakan
dan juga amal perbuatan yang wajib ditinggalkan itu maka menurut skop huraian
nabi saw perkara itu tidak termasuk didalam hakikat iman.
Dalam huraian yang lain perkara itu bukanlah
digolongkan di dalam juzuk asas yang menjadi teras iman bahkan ianya merupakan
syarat kepada kesempurnaan iman sahaja. Perkara itu berperanan penting dalam
menentukan bertambah atau berkurangannya iman seseorang. Lantaran itu perkara
tersebut boleh mengangkat tinggi iman seseorang itu sehingga mencapai darjat
setinggi-tingginya dan ia juga adalah penyebab yang membawa iman seseorang
individu itu jatuh serendah-rendah darjatnya.
Menurut
skop kefahaman tersebut sekiranya semua
amalan yang dilakukan oleh seseorang itu terhapus ianya tidak boleh membawa
kepada terbatal imannya bahkan individu itu kekal menjadi seorang mukmin
walaupun ia melakukan sedikit ketaatan ataupun ia banyak melakukan maksiat dan
kejahatan.
Oleh
kerana itu tidak boleh melemparkan perkataan kafir kepada seseorang itu walau
bagaimana keadaannya sekalipun selagi seseorang individu itu memelihara akidah
didalam hati yang menjadi asas kepada
hakikat iman dan juga pengertiannya.
Senario
perbahasan tadi adalah merupakan kata pemutus di antara akidah ahli sunnah
waljamaah dari mazhab asyairah, maturidiyah dan ahli hadis disatu pihak dengan
akidah golongan yang selain daripada ahli sunnah yang telah menjadikan amal perbuatan itu adalah sebahagian daripada
hakikat iman.
Golongan
itu juga berpegang kepada prinsip bahawa mana-mana individu yang telah
melakukan maksiat dosa besar maka ia telah terhapus imannya lalu ia menjadi
seorang yang kafir serta terkeluar dari agama Allah. Dengan itu pintu telah
terbuka luas dihadapan mereka untuk bertindak menumpahkan darah dan merampas
harta individu itu.
Penjelasan
tentang perbezaan akidah ahli sunnah waljamaah dengan golongan lain adalah
merupakan garis pemisah di antara akidah pegangan jumhur muslimin dengan akidah
pegangan golongan muktazilah yang berkata bahawa sesiapa yang melakukan dosa
besar ia bukanlah seorang mukmin dan bukan juga menjadi seorang yang kafir. Maka
ia berada diantara dua kedudukan iaitu dinamakan status fasik. Perbahasan
mengenai status fasik ini terlalu
panjang dan telah ditolak oleh para ulamak ahli sunnah waljamaah.
Disini
saya amat prihatin untuk memberi penerangan bahawa terdapat sebahagian dari
pendukung-pendukung mazhab tertentu telah cuba membentuk suatu turas akidah yang
cenderong kepada ekstrim dalam memahami konsep iman. Golongan ini telah bergiat
aktif melalui majlis ilmu, bidang penulisan, penerbitan buku dan siaran tv bagi
menanamkan prinsip mereka kedalam pemikiran kaum belia. Mereka mendakwa mazhab
yang benar adalah mazhab yang menjadikan hakikat iman itu adalah gabungan
diantara iktikad dan amalan. Manakala iktikad atau pengakuan hati sahaja adalah
tidak mencukupi bagi mencapai tahap sebagai seorang yang beriman.
Harapan
kita agar pendukung mazhab ekstrim ini dapat memberhentikan kegiatan mempropagandakan mazhab tersebut. Penyiaran itu boleh dibuat diatas dasar, ia adalah
salah satu pandangan diantara pelbagai pendapat pemikiran yang ada. Ataupun
mereka juga boleh menyatakan itu adalah satu mazhab diantara mazhab-mazhab yang
sedia ada. Sekiranya sikap ketelusan itu berlaku maka persoalan dan perbicaraan
mengenai akidah ini menjadi mudah serta ringan.
Sebaliknya kumpulan ini
telah membuat propaganda secara meluas serta mendakwa mazhab mereka adalah
benar manakala mazhab yang lain telah menyimpang dari kebenaran. Mereka juga
mendakwa mazhab asyairah adalah sesat dan tersasar dari kebenaran dan tidak
memberi apa-apa gambaran kepada identiti agama Islam dalam bidang ini.
Propaganda
melabelkan kesesatan kepada mazhab asyairah itu terus dilakukan sedangkan lebih
daripada majoriti 90% umat Islam di timur dan barat menganut fahaman asyairah.
Mazhab asyairah menghuraikan konsep iman itu adalah pengakuan benar di hati
manakala amalan pula adalah manifestasi dari iman tadi dan juga sebagai tanda
bertambah dan berkurangan iman seseorang. Amalan maksiat dan dosa yang
dilakukan oleh sesorang itu sama sekali tidak boleh menjejaskan ataupun
membatalkan iman.
Melalui
perutusan ini kami terlalu ingin mengajak agar anda kembali membuat
pertimbangan terhadap mazhab asyairah, maturidiah dan mazhab ahli hadis dalam
kontek persoalan amal dan iman. Kami ingin menyeru anda kepada satu mazhab yang
telah didukungi oleh majoriti umat Islam disepanjang susur sejarahnya yang
sudah pasti ia adalah satu mazhab yang terlalu sempit ruang kafir mengkafir
didalamnya.
Mazhab
asyairah yang berpegang kepada prinsip bahawa tidak akan menjadi kufur seseorang
itu kecuali kepada individu yang memberanikan dirinya sendiri melakukan kufur hakiki
iaitu perbuatan mengingkari salah satu rukun daripada rukun iman ataupun
menolak sesuatu prinsip yang diketahui secara umum perkara itu adalah sebahagian
daripada amalan keagamaan.
Mazhab ini
juga telah meletakan asas formula keemasannya adalah seperti berikut :
Sesungguhnya sesuatu perkara itu tidak boleh mengeluarkan anda dari batas-batas
keimanan melainkan anda bertindak mengingkari perkara yang memasukan anda
kedalamnya.
Tegasnya
mazhab ahli sunnah waljamaah adalah satu mazhab yang disokong kuat dengan
banyak ayat-ayat al-Quran, begitu juga ianya satu mazhab yang jelas perbezaan
diantara hakikat iman dan hakikat amal perbuatan. Lantaran itu al-Quranulkarim
menghubungkan perkataan amal perbuatan keatas perkataan iman dengan menggunakan
kaedah pertautan yang bertentangan seperti firman Allah Taala :
{إِنَّ الَّذِينَ آمَنُواْ وَعَمِلُواْ
الصَّالِحَاتِ}
Ertinya
: Sesungguhnya orang-orang yang beriman
dan yang melakukan amal perbuatan yang baik.
Masih terdapat ayat-ayat
al-Quran disurah yang lain.
Memang terdapat ayat al-Quran yang menyatakan kekalnya iman
seseorang muslim yang melakukan perbuatan maksiat dan dosa seperti firman Allah
Taala :
{وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ
الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا} {الحجرات: 9}
Ertinya :
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang , maka damaikanlah di
antara keduanya.
Firman
Allah :
{كَمَا
أَخْرَجَكَ رَبُّكَ مِن بَيْتِكَ بِالْحَقِّ وَإِنَّ فَرِيقاً مِّنَ
الْمُؤْمِنِينَ لَكَارِهُونَ * يُجَادِلُونَكَ فِي الْحَقِّ بَعْدَمَا تَبَيَّنَ
كَأَنَّمَا يُسَاقُونَ إِلَى الْمَوْتِ وَهُمْ يَنظُرُونَ} {الأنفال: 5-6}
Ertinya : Sebagaimana
(harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran ,
maka)Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi
berperang) dengan kebenaran juga , sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman itu (sebenarnya)tidak suka (turut
berjuang). Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata
(kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau
kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya).
Dalam ayat
diatas Allah Taala telah menyifatkan para sahabat baginda dengan sifat sebagai pelaku
dosa besar iaitu kebencian mereka menyertai jihad bersama RasulluLah saw dan
mereka cuba berhujjah dengan baginda RasulluLah saw walaupun kebenaran itu
telah jelas dalam pengetahuan mereka. Dalam situasi itu al-Quran masih menyebut
para sahabat itu dengan perkataan mereka
itu adalah satu golongan dari orang-orang mukmin.
Sebahagian dari bukti
ayat-ayat al-Quran yang lain firman Allah :
{إِلاَّ مَنْ
أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالإِيمَانِ} {النحل: 106}
Ertinya : Kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur)
sedangkan hatinya tenteram dengan beriman.
Firman Allah Taala :
{يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ *كَبُرَ
مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ}{الصف: 2-3}
Ertinya :
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu
mengatakan apa yang kamu tidak melakukanya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah,
kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
Firman Allah
Taala :
ومنها: {
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُواْ فِي
سَبِيلِ اللّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الأَرْضِ}{التوبة :38 }
Ertinya: Wahai orang-orang beriman!
Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu “Pergilah beramai-ramai untuk
berperang pada jalan Allah”, kamu berasa keberatan (dan suka tinggal menikmati
kesenangan) di tempat (masing-masing)?
Masih banyak
lagi ayat al-Quran yang berintraksi dengan orang-orang yang melakukan maksiat
dan dosa besar.
Firman Allah Taala :
{يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ}
Ertinya : Wahai orang-orang
yang beriman.
Allah Taala menyifatkan
mereka para sahabat itu sebagai orang yang beriman. Prinsip kita menjadi bertambah
jelas bahawa orang yang melakukan dosa besar adalah digolongkan sebagai mukmin dan tidak wajar melabelkan mereka
dengan sifat kafir. Moga Allah lindungi, apabila seseorang itu melakukan dosa
besar dalam bentuk syirik dan mengingkari sesuatu perkara yang diketahui secara
umum bahawa pegangan itu adalah sebahagian dari agama maka ketika itu barulah
individu itu dihukum sebagai kafir kerana ia ingkar serta menolak kepercayaan
itu.
Kesimpulannya mazhab Imam Asyaari
adalah mazhab yang dipakai dan diterima oleh majoriti teramai umat Islam dan
itulah mazhab yang mewakili harapan manusia, ahli maksiat serta orang-orang
beriman yang lain dalam mendapat kemaafan, pengampunan serta rahmat Allah Taala.
Mazhab Imam Asyaari adalah sebagai
sebuah gambaran tentang betapa ringannya agama ini serta terlalu kasih, pemurah
dan bersimpati kepada seluruh penganutnya. Oleh itu kepada sesiapa yang membaca
kata pengantar kitab Imam kita Abu Hasan Asyaari (moga Allah meredainya) iaitu
kitab “ Maqalat al-Islamiah ” akan merasa kagum di atas sifat toleransi agama
Islam yang begitu tinggi terserlah jelas pada peribadi Imam Abu Hasan Asyaari.
Situasi itu dapat dilihat
ketika beliau membuat koleksi penulisan makalah-makalah, mengumpul maklumat mazhab
akidah dan pelbagai aliran perbezaan pendapat yang berlaku dikalangan umat
Islam lalu dikumpulkan dibawah satu lembayong Islam dengan nama koleksi itu
ialah “ Maqalat al-Islamiyin waikhtilafat al-Musallin ”
Sekarang saya paparkan
petikan mukhadimah kitab Abu Hasan Asyaari, beliau berkata : Manusia telah
berpecah kepada pelbagai aliran selepas Nabi saw mengenai banyak perkara,
sebahagian daripada aliran-aliran yang berselisih faham itu melabelkan dakwaan
kesesatan diantara satu sama lain manakala sebahagian dari golongan itu pula
menolak golongan yang lain.
Setelah itu terbentuklah
berbagai-bagai puak yang berbeza diantara satu sama lain dan parti-parti ahzab yang berpecah-belah tetapi
Islam telah berjaya menghimpun dan mengumpul mereka kembali. Nas kenyataan ini
amat wajar mendapat perhatian semua tokoh-tokoh ilmuwan kerana Imam Abu Hasan
Asyaari telah melihat kepada gejala perpecahan puak dan perselisihan seperti
apa yang telah menimpa umat Islam kini.
Kemudian mazhab asyairah
telah memberi sumbangan besar dalam memelihara darah, harta dan juga maruah
umat Islam sepertimana yang diharamkan oleh RasulLulah saw didalam beberapa
keterangan yang amat jelas dengan sabda beliau saw :
كلُّ
المسلمِ على المسلمِ حرامٌ: دمُه ومالُه وعِرضُه
Ertinya : Setiap individu muslim
keatas muslim yang lain itu adalah haram darah, harta dan maruahnya.
Sabda Nabi saw :
أيُّها الناسُ، إنَّ دماءَكم
وأموالَكم وأعراضَكم حرامٌ عليكم كحُرمةِ يَوْمِكم هذا ([4])
Wahai manusia, sesungguhnya darah
kamu, harta kamu dan maruah kamu adalah haram diatas kamu sepertimana haramnya
hari kamu ini.
Mazhab asyairah juga mempunyai
pandangan yang seimbang terhadap manusia
yang dijadikan itu dengan tabiat semulajadinya terdedah kepada melakukan kesalahan
seperti yang ingatkan oleh Nabi saw :
قولِه: كلُّ
ابنِ آدمَ خَطَّاءٌ، وخيرُ الخَطَّائينَ التَّوَّابون ([5])
Sabdanya : Setiap anak adam itu akan melakukan
kesalahan maka sebaik-baik orang yang bersalah itu ia bertaubat.
Para ulamak yang dihormati,
anda semua tahu dalam penilitian yang dibuat dalam mazhab asyairah, kita telah
melihat persoalan kuasa menyatakan status seseorang itu samaada ia seorang
Islam atau kafir sebenarnya tidak dimiliki oleh mana-mana individu, badan,
jamaah dan juga gerakan tanzim tetapi ia hanya suatu nama yang dilabelkan sahaja
oleh syarak.
Persoalan takfir ini pula
mempunyai prinsip disiplinnya serta memenuhi segala syaratnya. Apabila kehilangan
semua perkara yang menjadi sebab penghalang kepada seseorang itu menjadi kafir
maka ianya perlu dinilaikan pula didalam ruang yang amat ketat sekali dan
kemudiannya situasi itu pula boleh dengan ditolak dengan sebarang kesamaran
yang timbul.
Sebenarnya autoriti dalam
kaitan dengan takfir adalah bidang tugas hakim dan pemerentah maka sesiapa yang
memberanikan dirinya dalam hal ini maka ia adalah seorang manusia yang jahil
sebagaimana yang di katakan oleh Hujjatul Islam Imam Ghazali dengan tegasnya :
Sesungguhnya kesalahan
membiarkan satu kekufuran berlaku kepada
seribu orang kafir adalah lebih ringan dari menumpahkan setitis darah seorang
muslim.
Menurut pendapat Imam
Mohamed Abduh menjauhkan diri dari takfir itu adalah asas kepada asal
hukum-hakam di dalam Islam lalu beliau berkata : Apabila terbit satu perkataan
daripada seseorang dimana perkataan itu boleh dikaitkan dengan kekufuran dari
seratus aspek manakala satu aspek sahaja boleh dikaitkan dengan keimanan maka
hendaklah dibawa perkataan itu kepada keimanan dan tidak harus dijuruskan
perkataan itu kepada kekufuran.
Tuan-tuan sekalian, kita
berada disini seperti yang diketahui oleh Allah tujuan kita bukanlah untuk menyalakan
api persilihan pendapat di antara para ulamak dan semoga dijauhkan oleh Allah,
al-Azhar akan menjadi sebuah pusat untuk perpecahan di antara umat Islam.
Sesungguhnya al-Azhar telah
beroperasi lebih dari seribu tahun dan akan kekal mengajar ilmu feqah di dalam
semua mazhab serta pendapat yang khilafiyah, semua masaalah di dalam ilmu kalam
serta pendapat firqah pecahannya dan juga ilmu sains Islam daripada berbagai
sumber.
Tetapi al-Azhar semenjak
dahulu lagi telah menemui semula turas ilmu miliknya yang hilang darinya iaitu
mazhab ahli sunnah waljamaah lalu mengambil mazhab itu sebagai bahtera penyelamat
kepada umat Islam.
Setiap kali umat Islam ditimpa wabak
perpecahan dan penyakit taasub yang
keterlaluan terhadap sesuatu mazhab lalu menganggap mazhab yang dianutinya itu
adalah agama Islam yang sebenar dan tidak ada Islam selain darinya. Maka
al-Azhar akan bangun mengambil inisiatif
yang bersungguh-sungguh bagi membina semula perpaduan umat serta bergabung
bersama mereka bagi menghadapai mara bahaya
serta rintangan ombak itu. Al-Azhar
akan terus konsisten di atas landasan perjuangannya yang berkesinambungan.
Tuan-tuan
yang dimuliakan, Institusi al-Azhar yang membawa panji-panji perpaduan di antara
umat Islam seluruhnya akan berdiri pada jarak yang sama diantara mazhab-mazhab
yang ada dalam menentang serangan ideologi athies, budaya pembaratan dan
keruntuhan moral. Al-Azhar juga akan terus bekerja dengan konsisten dalam
menentang gejala takfir yang baru muncul yang mana penyakit ini telah mendapat
tentangan hebat oleh seluruh umat Islam dahulu dan kini.
Saudara-saudara
sekalian, sebenarnya sudah tidak ada ruang waktu lagi dihadapan kita dalam
memacu kearah mencapai semua cita-cita diatas kecuali dengan mengambil
inisiatif secara jujur bagi menyatupadukan seluruh para ulamak Islam bagi menghadapi
pelbagai mara bahaya yang sedang mengancam semua pihak serta berjuang untuk
kepentingan umat serta menangkis sebarang kerosakan yang akan menimpa mereka.
Oleh itu
sekiranya tanpa program persidangan yang sedang anda ikuti ini sudah pasti kita
tidak akan berjaya mengeluarkan suatu resolusi yang sejajar dengan harapan kita
sebagai didikasi kepada umat Islam dalam memenuhi tuntutan keperluan semasa
bagi menangani situasi yang sedang melanda dunia ketika ini.
Para
hadirin yang mulia, suka saya tegaskan disini bahawa sejak hari pertama saya
diberi tanggungjawab menerajui al-Azhar, saya telah mengistiharkan prinsip perpaduan
umat itu adalah merupakan sebahagian daripada tujuan keseluruhan syariah
diturunkan. Manakala para ulamak umat pula perlu bersepakat didalam sesuatu isu
yang penting terutamanya dalam menyentuh isu takfir atau melabelkan individu
atau pihak lain dengan kekafiran.
Oleh itu
persepakatan golongan ulamak adalah satu cara yang dapat memelihara keamanan
dalaman serta survival kita didunia ini bahkan dapat pula memelihara kedamaian
sejagat.
Dengan itu
memang wajar menimbulkan persoalan tentang kenapakah inisiatif saya yang serius
dan kerap kearah perpaduan umat dan persefahaman diantara pelbagai mazhab serta
membina hubungan kerjasama golongan ulamak tidak mendapat sambutan yang setimpal
bagi mencetuskan harapan yang optimis tentang kemampuan umat ini dalam
mengharungi cabaran yang merintanginya.
Perasaan berkeyakinan
yang kental dalam menghadapi cabaran mendatang yang kita pohon dari Allah Taala
yang Maha tinggi lagi Maha berkuasa itu kelak akan berhasil ditangan anda semua
dengan amal yang ikhlas dan cita-cita yang jujur.
Saudara-saudara
sekalian, menurut maklumat yang dipaparkan oleh agama kita yang lurus ini ialah
umat kita adalah sebaik-baik umat, kedudukannya yang layak adalah dibarisan
hadapan sebagai peneraju.
Al-Azhar al-Syarif
sentiasa membuka pintunya kepada semua pihak serta mengalu-alukan kedatangan anda
dan al-Azhar juga perlu komited dalam membuat bacaan yang tepat terhadap faktor
tempat, persekitaran masa dan menghormati perbezaan pendapat diantara para
ulamak.
Kini
al-Azhar ingin mengajak seluruh umat Islam yang terdiri daripada para pemimpin
negara dan juga rakyat seluruhnya agar mengaplikasikan manhaj wasatiyyah
didalam pemikiran, akidah dan juga amalan tepat sebagaimana tuntutan al-Quran
dan al-Sunnah demi memelihara umat Islam kini dan dimasa yang akan datang serta
bagi menunaikan seruan Allah Taala :
{وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطاً لِتَكُونُوا
شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا} {البقرة : 143}
Ertinya : Dan demikianlah
(sebagaimana Kami telah memimpin kamu kejalan yang lurus). Kami jadikan kamu
(wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil supaya kamu layak
menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar
dan yang salah) dan RasulluLah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang
menerangkan kebenaran perbuatan kamu.
Saya ucapkan terima kasih diatas perhatian yang tuan-tuan
semua.
والسلام
عليكم ورحمة الله وبركاته
Oleh : Syeikh al-Azhar,Dr Ahmad al-Tayyib
Ditulis
pada : 24 Jamadil Awal 1435H
Bersamaan : 25 Mac 2014M
Credit :- Penterjemah Syeikh Wan Magdy .. Hayy Asyir